Malaysia tidak harus tunduk kepada TPP baharu

DALAM beberapa hari lagi, Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan membuat keputusan besar bagi pihak Malaysia sama ada untuk menyertai negara lain untuk menghidupkan kembali dan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) baharu tanpa Amerika Syarikat (AS).

Advertisement

Mereka akan bermesyuarat di Danang, Vietnam, di mana 11 negara TPP yang masih kekal (termasuk Malaysia) akan bertemu untuk bersetuju terhadap teks baharu TPP, yang mana mereka berharap akan ditandatangani di Danang oleh pemimpin politik dalam beberapa hari ini.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk tidak menyertai TPP yang akan mempunyai 11 ahli (TPP-11) tanpa Amerika Syarikat (yang telah menarik diri daripada TPP). Kami kekal berpendirian bahawa tidak perlu untuk menyertai TPP apabila manfaat utama (iaitu akses kepada pasaran AS) tidak lagi diperolehi, manakala kos menyertainya akan menjadi lebih serius.

Sekurang-kurangnya, Malaysia perlu membuat tuntutan dalam perbincangan di Danang yang sedang berlangsung berhubung beberapa bahagian draf TPP yang sedia ada terutama sekali yang merosakkan kepada Malaysia perlu dibuang atau digantung.

Menurut laporan media, banyak negara daripada TPP-11 kini mencadangkan untuk “menggantung” bab atau bahagian draf TPP asal yang mereka dapati tidak munasabah, disebabkan ia ada dalam teks dengan desakan daripada Amerika Syarikat. Kini AS tidak lagi ahli TPP, bahagian teks yang dicadangkan oleh AS dan mendesaknya sebagai pertukaran bagi akses ke pasaran AS perlu dikeluarkan daripada teks TPP baharu.

Dalam konteks ini, CAP merasakan bahawa Malaysia perlu mendesak pembuangan atau pergantungan seperti berikut:
 
1.    Bab mengenai pelaburan yang mengandungi sistem penyelesaian pertikaian pelabur negara (ISDS) yang membenarkan pelabur asing menyaman kerajaan bagi dakwaan kehilangan keuntungan masa depan dalam tribunal asing. Banyak negara telah diminta membayar beratus juta atau berbilion dolar AS kepada pelabur asing disebabkan klausa ini. Sesetengah negara TPP-11 termasuk New Zealand kini meminta pergantungan klausa ISDS.  Malaysia juga seharusnya mendesak pergantungan itu dan tidak seharusnya berdiam diri mengenai isu ini.

2.    Bab harta intelektual juga mempunyai beberapa klausa berbahaya yang akan menjejaskan pengguna dan petani Malaysia.  Malaysia seharusnya mengambil peranan utama dalam meminta penghapusan klausa yang menjadikan mustahil atau sukar untuk menjadikan kelonggaran dalam undang-undang paten negara yang membolehkan penggunaan ubatan generik, seperti langkah terbaik baru-baru ini oleh kerajaan untuk menjadikan ubatan Hepatitis C boleh diperolehi pada kos RM1,000 bagi seorang pesakit berbanding RM300,000 yang perlu dibayar oleh pesakit.
Malaysia juga perlu mendesak supaya dihapuskan dari teks TPP yang memerlukan negara untuk tidak membenarkan undang-undang negara yang menolak paten yang diberikan bagi penemuan bukan asli atau untuk memberikan tambahan tahun bagi paten, atau klausa lain yang melewatkan atau mencegah penggunaan generik yang lebih murah.
Malaysia juga seharusnya mendesak supaya dibuang klausa TPP sedia ada yang memerlukan negara TPP untuk menyertai UPOV-1991, satu perjanjian antarabangsa yang menjadikan kesukaran bagi petani kita untuk menggunakan benih termasuk yang disimpan daripada musim penanaman semasa. Malaysia sejak berdekad enggan untuk menyertai UPOV-1991, tetapi perlu menyertainya jika teks TPP tidak diubah.

3.    Malaysia juga perlu mendesak pergantungan terhadap bab Pemerolehan Kerajaan dan Syarikat Milik Kerajaan (SOE).   Bab pemerolehan melarang atau menjadikan sukar bagi negara mempunyai dasar sendiri dalam memberikan pemerolehan kerajaan bagi projek dan bekalan produk dan perkhidmatan memandangkan TPP memerlukan syarikat daripada negara TPP lain diberikan hak yang sama sepertimana syarikat tempatan. Bab SOE memerlukan negara TPP mengenakan syarat  berhubung cara syarikat berkaitan kerajaan beroperasi termasuk dasar pemerolehan mereka, kemampuan mereka untuk memperolehi pinjaman atau ekuiti daripada kerajaan dan sebagainya. Ini menyentuh isu yang amat sensitif yang menjejaskan kedaulatan negara.  Malaysia melalui rundingan awal TPP cuba untuk menentang bab ini. Kini AS tidak lagi berada dalam TPP, Malaysia seharusnya mendesak pergantungan atau penghapusan bab ini. Konsesi yang diberikan kepada Malaysia dalam TPP asal tidak mencukupi untuk melindungi kemampuan negara untuk membuat dasar berhubung isu utama ini.

4.    E-dagang. Bab E-dagang amat kontroversi memandangkan ia melibatkan isu seperti kerahsiaan data dan sama ada negara boleh memerlukan data (yang merupakan nyawa kepada e-dagang) boleh disimpan dalam lokasi negara daripada di luar negara. Sesetengah negara TPP-11  mendesak isu sensitif ini tidak dimasukkan dalam TPP, kini penyokong utama (AS) tidak lagi berada dalam TPP. Malaysia seharusnya menyokong pergantungan bab e-dagang ini.
 
Malaysia seharusnya tidak tergesa-gesa bersetuju dengan teks baharu TPP-11 dalam beberapa hari ini di Danang. Banyak isu besar penting negara menjadi pertaruhan. CAP menuntut Malaysia menarik diri dari TPP terutama sekali sejak manfaat akses kepada pasaran AS kini tidak diperolehi. Tetapi sekurang-kurangnya, ia perlu berpendirian dengan tegas dan mendesak penghapusan atau pergantungan bab dan bahagian teks TPP yang bertentangan dengan kepentingan negara, termasuklah yang disenaraikan di atas. – HARAKAHDAILY 10/11/2017