Rebah bangun dengan Islam – Presiden PAS

MARANG: Umat Islam di negara ini diingatkan agar tetap teguh istiqamah dengan Islam sekali pun mereka berada dalam keadaan lemah dan daif.
 
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam hari ini berada dalam keadaan sangat lemah ditindas oleh musuh-musuhnya.
 
Justeru katanya, situasi itu mengingatkan umat Islam dengan pesanan Nabi Muhammad S.A.W mengenai nasib umat Islam di akhir zaman.
 
“Kita menghadapi suasana orang Islam dalam keadaan yang sangat lemah. Keadaan yang pernah disebut oleh Rasulullah S.A.W dalam hadis. 
 
“Orang-orang lain akan mengelilingi kamu umat Islam seperti mereka mengelilingi hidangan yang lazat. Mereka mencubit, memamah, mengigit dan menelan makanan yang lazat.
 
“Adakah ketika itu umat Islam sedikit. Jawab Rasulullah S.A.W, tidak jumlah mereka (orang Islam) ramai tetapi banyaknya seperti buih dan sampah-sarap di lautan. 
 
“Itulah yang akan diperlakukan kepada orang Islam di akhir zaman. Mereka dikelilingi oleh musuh-musuh mereka macam orang ramai yang mengelilingi hidangan yang lazat,” ujarnya. 
 
Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana Malam Untukmu Rohingya di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di sini semalam.
 
Kata Dato’ Seri Abdul Hadi, itulah yang berlaku terhadap umat Islam di seluruh dunia termasuk Palestin, Afrika Tengah dan Rohingya hari ini.
 
Menurutnya, Allah S.W.T telah mencabut rasa gerun dan kehebatan umat Islam kepada musuh setelah mereka dilanda penyakit alwahn iaitu kasihkan dunia dan takutkan mati.
 
“Inilah penyakit yang melanda umat Islam di akhir zaman. Kasihkan dunia tanpa mengira halal dan haram. Takutkan mati kerana banyaknya dosa-dosa dan maksiat yang dilakukan,” jelasnya.
 
Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengingatkan umat Islam agar tetap bersama dengan Islam sama ada dalam keadaan lemah atau kuat.
 
“Oleh itu, sama ada rebah dan bangun, tenggelam dan timbul kita mesti bersama dengan Islam, bersama dengan umat Islam. 
 
“Kalau kita kuat, bertindak dalam keadaan kuat. Kalau kita lemah, kita tidak putus hubungan antara satu sama lain.
 
“Walaupun orang Islam dalam keadaan yang dhaif dan lemah. Allah menyuruh mereka bertindak mengikut kemampuan yang ada pada mereka. 
 
“Sekiranya, mereka bertindak mengikut kemampuan yang ada pada mereka, dan Allah hendak menunaikan kemenangan kepada Islam selepas itu adalah pertolongan daripada Allah yang tidak boleh dikalahkan oleh sesiapa sahaja,” tegasnya.
 
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah PASRelief Pusat, Muhammad Sanusi Mohd Nor, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang dan ramai lagi pimpinan PAS Terengganu. – HARAKAHDAILY 10/11/2017
Advertisement