Tahniah Kafa, Bibi Ramjani

fadli shaari
KOTA BHARU: Keputusan mewajibkan semua pemain Pasukan Bola Sepak Kelantan menutup aurat dalam aksi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan merupakan satu anjakan paradigma dan boleh menjadi medium dakwah.
 
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, cadangan tersebut selari dengan hasrat pernah diutarakan Kerajaan Negeri Kelantan dahulunya.
 
Menurutnya, langkah sangat baik itu akan membawa kesedaran dan kesan kepada masyarakat dalam mempraktikkan hidup bersyariat.
 
“Pemain bola sepak adalah ikon masyarakat, dengan cara ini ia boleh menyuntik kesedaran kepada masyarakat mengenai kewajipan menutup aurat walau dalam bersukan,” ulas beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia.
 
Ustaz Fadhli menyambut baik kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan yang menyatakan peraturan terbaru itu bagi menggalakkan pemain bertanggungjawab terhadap pematuhan syariah apabila terbabit dalam aktiviti sukan.
 
Terdahulu Bibi Ramjani berkata, bagi memastikan hasrat itu tercapai, penaja jersi Kelantan musim depan, Al-Ikhsan akan bertanggungjawab menyediakan pakaian menutup aurat termasuk kepada pemain import.
 
“Ini salah satu pembaharuan pasukan dan saya fikir apabila tampil dengan imej patuh syariah selepas ini, ia jadi kebanggaan bukan sahaja pemain, tetapi negeri ini,” katanya.
 
Sebelum ini, Kelab Bola Sepak Majlis Perbandaran Kota Bharu, Bandar Raya Islam Urus Setia Belia dan Sukan (MPKB-BRI UBeS) FC yang beraksi Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadi pasukan pertama di negara ini mempraktikkan dasar patuh syariah itu.
 
Bibi Ramjani berkata, selain skuad senior kempen Liga Super, peraturan itu tidak terkecuali diguna pakai pasukan Piala Belia, Piala Presiden, selain skuad futsal lelaki dan wanita Kelantan.
 
Bibi Ramjani turut mengumumkan, The Red Warriors mendapat tajaan syarikat pelancongan, Al-Quds Travel Sdn Bhd selepas Al-Ikhsan. – HARAKAHDAILY 18/11/2017
Advertisement