Luka Memali tidak pernah dirawat

TIADA siapa dapat menjangkau dan menyelami perasaan balu dan ahli keluarga 14 para syuhada serta 169 bekas tahanan kejadian Memali yang sekian lama merobek hati lantas keadilan untuk mereka dinafikan. 
 
Cuma ada hanyalah air mata bersama kenangan yang mustahil dilupakan di mana ada di antaranya melihat suami mati dihadapan mata, ahli keluarga diheret bak penjenayah merbahaya. 
 
Sedangkan realitinya mereka hanyalah penduduk kampung yang hanya menadah kitab menuntut ilmu agama dari seorang guru disegani, namun 
dianggap pengganas oleh kerajaan zalim Umno-BN. 
 
Tragedi sebenar terus disimpan dan ditutup kemas agar tidak diketahui umum, tetapi fitnah dan dakyah bermaharajalela, tidak cukup pembohongan dipaparkan di kaca televisyen, kebenaran diratah dengan kenyataan menyimpang. 
 
Mereka mensabitkan kesalahan kononnya As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud dan para pengikutnya adalah pengganas dan anasir subversif komunis. 
 
Malang, bagi anak-anak yang ditinggalkan, diejek, dipulau, dinafikan hak bersekolah, didera perasaan di mana tentunya membawa kesan mendalam terutama bagi mereka yang begitu mentah untuk mengerti keadaan sebenar. 
 
Sedang yang mereka harapkan, bukanlah menghidupkan kembali suami, ayah atau anak mereka yang telah dibunuh, tetapi keadilan agar rakyat Malaysia khususnya mengetahui kisah sebenar di sebalik tragedi berdarah 19 November 1985 itu. 
 
SolehahSolehah Husin, balu kepada As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud, antara orang yang paling terkesan dengan kejadian itu apabila suaminya dituduh sebagai pengganas serta membawa ajaran sesat. 
 
Beliau mengharapkan agar penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ini agar mangsa-mangsa kejadian Memali mendapat keadilan.
 
“Sudah lama dah hampir 32 tahun. Anak-anak semua bersetuju sangat-sangat dengan penubuhan RCI ini. 
 
“Mereka tidak rela ayah mereka dituduh dan difitnah dengan perkara tidak betul. Lagi pun mereka melihat sendiri ayah mereka dibunuh, selain merasa bagaimana peritnya menghadapi keadaan selepas kejadian itu,” ujar beliau.
 
Katanya lagi, kezaliman yang dilakukan oleh Kerajaan Umno-BN di bawah Dr Mahathir Mohamad semasa itu memang meninggalkan kesan terhadap mereka, malah lebih penting maruah Ustaz Ibrahim Mahmud dan orang Memali ditebus semula. 
 
Terangnya, kesengsaraan beliau menyara anak-anak masih kecil, terpaksa berjimat cermat di samping bersabar menahan tohmahan masyarakat dengan pelbagai andaian yang dicanang oleh kerajaan melalui media massa. 
 
Malah katanya, Dr Mahathir Mohamad yang bertanggungjawab tercetusnya peristiwa itupun, sampai sekarang tidak pernah datang berjumpa mereka untuk memohon maaf.
 
RodziahSementara itu Rodziah Ghazali, salah seorang mangsa tahanan kejadian itu mengalu-alukan agar RCI disegerakan penubuhannya. 
 
Katanya, dengan adanya siasatan itu kisah sebenar Memali itu akan diketahui oleh generasi muda, kerana selama ini mereka hanya merujuk kepada kenyataan dibuat kerajaan yang memperlihatkan kononnya masyarakat Memali jahat.
 
“Pelbagai tohmahan yang kami terima, pengikut ajaran sesat, komunis, perompak, tak berterima kasih kepada kerajaanlah, hendak jadi pemerintahlah dan ini semuanya secara tidak langsung memberi gambaran buruk mengenai kami.
 
“Dengan adanya RCI ini, bukan sahaja hak-hak mangsa dikembalikan tetapi apa yang lebih penting maruah, dan rakyat boleh tahu kisah siapa sebenarnya yang jahat,” kata beliau.
 
Rodziah melahirkan rasa kesal kerana selepas kejadian itu, anggota polis masuk ke dalam rumah orang kampung, kutip semua senjata termasuk pisau, parang kopek kelapa, senapang ikan dan lain-lain untuk dijadikan bahan bukti kononnya di Memali ini wujud gerakan bersenjata.
 
“Yang saya nak tergelak tu, senapang untuk menembak ikan pun mereka (polis) ambil, untuk dijadikan bukti kononnya kami ada senjata,” sambung beliau lagi.
 
EliasSeorang lagi bekas tahanan Memali yang ditempatkan di Kemunting, Elias Mahmud, menyokong penuh agar RCI itu segera ditubuhkan agar keadilan untuk para mangsa tercapai dan orang yang bertanggungjawab mendapat pembalasan.
 
Mengimbau kembali kenangan sewaktu ditahan di penjara Kemunting yang tetap segar diingatannya bagaimana mereka di’brain wash’ agar mengaku Ustaz Ibrahim Mahmud pembawa ajaran sesat dan mempunyai perancangan untuk menggulingkan kerajaan.
 
“Semua itu tidak benar, kami tidak mengaku sama sekali, namun orang lain khususnya luar Memali tidak tahu perkara sebenar. Mangsa Memali terus dicop sebagai penjahat dan derhaka kepada sultan.
 
“Jadi dengan adanya RCI ini sekurang-kurangnya dapat menebus kembali maruah kami dan orang ramai dapat mengetahui kisah sebenarnya,” kata beliau
 
Justeru itu, harapan mereka adalah supaya RCI disegerakan penubuhannya dan penyiasatan terhadap kejadian berdarah Memali dapat dijalankan dengan segera. – HARAKAHDAILY 21/11/2017
Advertisement