PAS Temerloh dapatkan penjelasan masalah harga getah

TEMERLOH: Ketidakstabilan harga getah, ditambah faktor musim hujan ketika ini sememangnya membimbang dan meresahkan para pekebun kecil khususnya penoreh getah.
 
Justeru itu, PAS Kawasan Temerloh telah mengadakan pertemuan dengan pihak Mardec Mentakab Processing Sdn Bhd dalam usaha mendapat maklumat sebenar mengenai kejatuhan harga getah.
 
Dalam pertemuan diketuai Yang DiPertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus kepada Pengurus Mardec Mentakab, Yazid Yusop, kedua pihak membincangkan cara sesuai untuk membantu masalah dihadapi penoreh.
 
Selain diberi gambaran terhadap ketidakstabilan harga getah, PAS Temerloh turut menerima taklimat dari Yazid berhubung situasi permintaan dan penawaran pasaran antarabangsa yang menjadinpunca kejatuhan harga.
 
Terang beliau, faktor lain adalah turut dipengaruhi oleh ekonomi antarabangsa, sosio-ekonomi global, kewujudan stok, pertukaran mata wang asing dan spekulasi pasaran getah, selain penawaran yang berubah-ubah mengikut keadaan.
 
Rombongan PAS turut dimaklumkan, pada masa ini negara China merupakan pengguna utama getah kerana giat mengeluarkan produk tayar, menyebabkan harga turut dipengaruhi oleh permintaan dari negara Tembok Besar itu.
 
Yazid berkata lagi, perkara amat penting ketika ini adalah penoreh getah perlu menghasilkan getah yang berkualiti untuk terus bersaing bagi meningkatkan kembali permintaan dunia terhadap getah di Malaysia.
 
Pertemuan tersebut telah diakhiri dengan lawatan ke bahagian pemprosesan pengeluaran getah SMR bagi melihat sendiri carta aliran proses dan permasalahan pengeluaran. – HARAKAHDAILY 19/1/2018
Advertisement