Chit Chat Dun Chukai kupas isu semasa

PEMUDA PAS Dun Chukai telah menganjurkan Chit Chat Dun Chukai dalam mengupas isu semasa di Markas Induk Dun Chukai, Kemaman, semalam. Program santai dengan format dua soalan itu menampilkan ahli panel iaitu Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Penolong Setiausaha PAS Negeri Terengganu, Hanafiah Mat. Ikuti semula jawapan dan penjelasan kedua ahli panel yang disediakan oleh Wartawan Rakyat, NORSAFWAN KHAIRI.

Advertisement

Adakah PAS Terengganu bersedia atau PAS parti ‘Angan-angan Mat Jenin’?

Hanafiah berkata, PAS bersedia untuk mengambil alih pemerintahan di Terengganu dan PAS telah lancarkan 15 manifesto.

Menurutnya, dua manifesto PAS telah Kerajaan BN Terengganu laksanakan iaitu 20 meter padu air percuma dan kahwin perdana percuma menunjukkan PAS lebih terkedepan daripada mereka.

Dalam pada itu, beliau juga menyelar kenyataan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan PAS parti ‘Angan-angan Mat Jenin’ kerana kenyataan itu tidak berpijak di bumi yang nyata.

“PAS ada 195 kawasan, 7000 cawangan, ahli hampir satu juta dan pengalaman 13 kali pilihan raya. Bersatu belum pernah masuk pilihan raya, sepatutnya dia halakan tikaman pada Kerajaan BN tetapi kita (PAS) menjadi sasarannya.

“Sangkaan PAS mahu berkerjasama bersama Kerajaan BN juga tidak berasas, situasi politik berubah, strategi perlu berubah, pendekatan yang kita gunakan sekarang mengikut situsi politik semasa, lawan PAS tetap Kerajaan BN,” tambahnya.

Razif vs Ahmad Said, Bas ‘Amphicoach‘ dan anak tiri

“Hari ini, berlaku pertelingkahan antara Dato’ Seri Ahmad Razif dan Dato’ Seri Ahmad Said di mana ini menguntungkan pihak kita walau siapa yang menang,” katanya.

Berkenaan bas ‘Amphicoach‘ katanya, PAS pernah beberapa kali menyuarakan kewajaran pembeliannya, namun pihak Kerajaan Negeri Terengganu bermegah dan mendabik dalam hal ini.

Menurutnya lagi, PAS juga menyuarakan waktu bas itu akan tiba. Malangnya mereka menjawab bas itu mengalami masalah sistem hidraulik dan menyebabkan penghantarannya tertangguh, satu jawapan yang tidak munasabah.

Beliau juga menjawab tuduhan terhadapnya yang di siarkan di Terengganu Times berkenaan takut kehilangan gaji RM11,000.

“Untuk pengetahuan semua, PAS telah membuat satu keputusan 50 tahun dahulu setiap wakil rakyat pas di Terengganu wajib memberi 20 peratus daripada gaji kepada parti.

“Selebihnya kami gunakan untuk makan anak- beranak dan hidupkan aktiviti-aktiviti di Dun masing kerana kami tiada peruntukan untuk rakyat, kami di terengganu di anak tirikan,” katanya kesal.

Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS), sasaran pencapaiannya dan manfaat untuk rakyat

Ustaz Khalil Abdul Hadi berkata WINS merupakan kerangka atau konsep negara yang akan PAS bentuk menjelang 2051.

“Apa yang berlaku hari ini, negara kita tidak ditadbir mengikut syariat Allah, tidak ada dosa pahala dan kesannya negara dibelengu dengan masalah politik, masalah ekonomi, salahguna kuasa, kronisme, rasuah, kos sara hidup, kesempitan hidup, masalah sosial, jenayah, dan keruntuhan akhlak.

“Penyelesaian kepada masalah-masalah ini merupakan sasaran utama kita (PAS) dalam WINS dan apa yang kita tawarkan adalah penyelesaian berlandaskan ajaran Islam.

“Kita ada PASTI, SRITI, sekolah-sekolah menengah sehingga peringkat Diploma, ARC, Jabatan Amal, DACS, Ameerah, dan lain-lain.

“Apa yang kita buat adalah persiapan dan persediaan untuk meneraju negara sekiranya diberi mandat oleh rakyat,” ujarnya.

PAS sebagai ‘King Maker’

“Kita meletekkan sasaran untuk menang 40 kerusi dan bertanding minima 130 kerusi dan sekiranya berjaya, disinilah kita akan menjadi ‘King Maker’.

“Parti-parti yang hendak membentuk kerajaan akan bertanya pada kita, dan di sinilah PAS akan meletakkan asas utama kita iaitu perlu hormati perlembagaan Negara iaitu Islam sebagai agama rasmi.

“Senario hari ini, kuasa politik Melayu Islam tergugat disebabkan tiada penambahan kerusi dikawasan majoriti Melayu Islam dan faktor persempadan semula oleh BN menyebabkan kuasa politik Islam lemah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/1/2018