Mangsa kebakaran dan kemalangan disantuni PAR Johor

PASIR GUDANG: Pusat Aduan Rakyat (PAR) Negeri Johor telah mengadakan ziarah dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru, di sini semalam.
 
Sumbangan awal sebanyak RM500 telah disampaikan oleh Pengerusi PAR Johor, Ab Aziz Abdullah kepada setiap kekuarga, selain pakaian kepada mangsa bagi meringankan beban ditanggung mereka.
 
Pada kejadian yang berlaku kelmarin, enam keluarga hilang tempat tinggal setelah musnah dalam kebakaran itu yang hingga kini punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa, namun tiada kemalangan jiwa.
 
Terdahulu, pihak PAR Johor telah mengunjungi waris mangsa kemalangan maut dalam menzahirkan simpati serta takziah, disamping menyampaikan sumbangan di kediaman keluarga itu di Taman Desa Harmoni, Plentong, di sini kelmarin.
 
Dalam kejadian 17 Februari lalu, Allahyarham Mohd Asyraf Azmi yang menunggang motosikal di rempuh van kilang di jalan Tanjung Balau, Desaru – Kota Tinggi dan disahkan meninggal dunia esok harinya di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
 
Pada lawatan turut diiringi Ketua PAS Cawangan Taman Saujana, Raja Ameran Raja Idris itu, sumbangan diserahkan kepada waris Allahyarham iaitu ayahnya yang juga kurang upaya (OKU) kerana kaki dipotong enam bulan lalu akibat kemalangan. -HARAKAHDAILY 22/2/2018
Advertisement