Razali bakal buat kejutan di Wangsa Maju

Advertisement

KUALA LUMPUR: Calon PAS, Razali Tumirin dijangka mampu melakukan kejutan di Parlimen Wangsa Maju berikutan pengundi mahukan calon Melayu mewakili mereka bagi menyelamatkan kawasan dan perkampungan Melayu daripada pembanguan yang tidak adil.

“Sepanjang kita temui pengundi, mereka teruja bila PAS pertama kali bertanding di sini. Dalam kempen, kita mahu suara Islam. Beri peluang kepada kita kerana kedua calon (lawan) pernah menjadi wakil rakyat,” kata Razali ketika ditemui menyantuni pengundi di Kampung Padang Balang, Wangsa Maju, baru-baru ini.

Razali lepasan Sarjana Pengurusan Kewangan merupakan bekas Setiausaha Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) lantikan Menteri Kementerian Sumber Manusia dalam pertandingan tiga penjuru, calon BN, Datuk Yew Tiong Look daripada MCA dan calon PKR, Datin Paduka Tan Yee Kew.

Kerusi yang dimenangi PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan 31,641 undi berbanding calon BN, Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah (26,130). Namun peningkatan pengundi Melayu kepada 61 peratus berbanding Cina (21 peratus) dan India (18 peratus), ia memberi kelebihan kepada calon Melayu apabila MCA berjaya mengambil semula kerusi tersebut daripada Umno yang mendakwa kerusi asal-usul mereka.

Razali mengingatkan pengundi supaya berhati-hati membuat pemilihan kerana sekiranya mereka tersilap kemungkinan kawasan dan perkampungan Melayu diambil dan dibangunkan dengan kediaman mewah yang tidak mampu dibeli orang Melayu.

“Contoh kampung Setiajaya. Jika BN menang sahaja projek tersebut diteruskan. Ada ura-ura rundingan telah dibuat di Taman Melati dan bergantung kepada rundingan persatuan penduduk. Bagi pihak PAS ia tidak menghormati penduduk kerana jika dapat kuasa sahaja mereka akan teruskan,” ujar Yang Dipertua PAS Wangsa Maju itu.

Orang Melayu tidak menentang pembangunan tetapi ia hendaklah dibangun secara yang boleh memberi keuntungan kepada semua pihak termasuk pemilik tanah. Sejarah orang Melayu datang ke bandar juga perlu diambil kira sebelum mereka dikategorikan setinggan.

PAS Wilayah Persekutuan dalam manifestonya menawarkan kepada pengundi untuk menjamin hak Rezab Melayu dan Tanah Warisan serta menggantikan tanah yang telah diambil dengan nilai yang sama di Wilayah Persekutuan.

Pada 2011 ada usaha jawatankuasa bertindak Kampung Padang Balang dipengerusikan, Zainal Abdiin Ma’as supaya Kampung Padang Balang, Sungai Merali, Kampung Sungai Mulia, Kampung hubadak, Kampung Puah diwartakan sebagai Kampung Warisan dalam pertemuannya dengan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ketika itu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Bagaimanapun selepas Kementerian itu diambil alih oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menolak cadangan tersebut dan perkampungan Melayu terutamanya berisiko diambil kerajaan bila-bila masa sahaja bagi menjayakan Projek Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 dan akhirnya orang Melayu tercampak di rumah pangsa pinggir bandar dan Selangor.

Akta Pengambilan Tanah cukup berleluasa digunakan semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga penduduk kampung terutama orang Melayu menjadi keluarga merempat di bumi sendiri, anak kecil sedang menghadapi peperiksaan menangis kehilangan tempat tinggal apabila jentolak secara rakus meranap, merobohkan rumah mereka.

Kerajaan masa itu hanya memikirkan keuntungan daripada premium tinggi yang memberi pulangan besar, langsung tidak memikirkan nasib rakyat desa berhijrah ke bandar sejak pemerintahan Arwah Tun Abdul Razak Hussein dan dibenarkan tinggal di tanah kerajaan kerana pemerintah ketika itu tidak mampu menyediakan perumahan.

Calon PAS, Parlimen Batu, Ustaz Azhar Yahya boleh meneruskan perjuangan hak rakyat di Kampung Chubadak dalam Parlimen Batu sebagaimana tawaran dalam Manifesto PAS supaya penduduk dapat menikmati sama pembangunan daripada tanah mereka bukan sekadar melihat dan mengeluh.

Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, itu berdepan empat penjuru antara Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau (BN), dan dua calon bebas VM Panja Mothy Muthusamy serta Prabakaran Parameswaran, setelah Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) menolak calon PKR, Tian Chua.

Pada jangkaan awal Azhar dijangka boleh mengatasi cabaran sekiranya Tian Chua bertanding kerana perpecahan undi Cina antara BN dan PKR.

Sebaliknya keputusan SPR itu turut menyebabkan PAS Kawasan Batu perlu menukar strategik dan perlu menarik pengundi PKR supaya mengundi PAS.

Jentera PAS Kawasan Batu mempunyai hubungan yang baik dengan Tian Chua kerana penglibatan mereka membantu Tian Chua menang di situ selama dua penggal.

Pada PRU13, Tian Chua mengalahkan Dominic dengan majoriti 13,284.

Calon PAS, Parlimen Titiwangsa, Haji Mohamad Noor Mohamad berkata selain menawarkan negara Islam, PAS Wilayah juga membawa isu setempat seperti tawaran menyediakan Pusat Pembelajaran setempat di kawasan rumah pangsa.

“Kita maklum ada rumah flat yang masih satu bilik dan ini menyukarkan anak-anak belajar. Jadi kita akan buat satu pusat yang boleh menempatkan anak-anak ini belajar disamping terdapat tenaga pengajar yang boleh dirujuk.

“Penyelesaian kita ini bagi memastikan anak yang tinggal di rumah flat tidak ketinggalan dalam pendidikan kerana faktor ketidakselesaan mereka,” ujar Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan itu. – HARAKAHDAILY 8/5/2018