Thailand tidak benar perkahwinan bawah umur

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam Narathiwat dikatakan tidak diberi maklum mengenai perkahwinan lelaki dari Kelantan dengan kanak-kanak berusia 11 tahun di Sungai Golok baru-baru ini.

Advertisement

Yang Dipertuanya, Baba Haji Syafie memaklumkan perkahwinan yang dibuat pasangan berkenaan tanpa mendapat kebenaran.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, perkara itu dimaklum Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat pada pertemuan di Narathiwat hari ini.

Malah katanya, undang-undang di Thailand juga tidak membenarkan perkahwinan melibatkan pasangan bawah umur.

“Baba Hj Syafie memberitahu pejabatnya tiada maklumat rasmi tentang isu itu serta tidak ada permohonan dibuat melalui pejabat beliau,” katanya ketika dihubungi di Narathiwat.

Siti Zailah yang juga anggota parlimen Rantau Panjang mengadakan pertemuan dengan Baba Haji Syafie bagi mendapat gambaran lebih jelas isu yang berlaku.

Kelmarin anak pasangan yang berasal dari selatan Thailand berusia 11 tahun dilapor dinikahi dengan seorang lelaki berusia 41 yang berasal dari Gua Musang.

Pernikahan secara gantung itu dikatakan diadakan di negara jiran, tempat asal keluarga kanak-kanak terbabit. – HARAKAHDAILY 2/7/2018