1MDB: Tony Pua tiada maklumat kaitkan PAS

KUALA LUMPUR: “Saya tidak ada maklumat,” demikian kata Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menjawab celahan Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang menyoal sama ada PAS menerima dana 1MDB.

Advertisement

fadli“Adakah Damansara bersetuju bahawa PAS tidak pernah menerima dana 1MDB?” soal Ustaz Fadhli.

Tony bagaimanapun meminta supaya menteri bertanggungjawab menjawab pertanyaan tersebut.

Ahli Parlimen itu dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat petang tadi juga menyentuh jumlah dana 1MDB yang diterima oleh parti komponen BN.

Namun beliau sendiri tidak dapat memberi jawapan terhadap tuduhan bahawa PAS menerima dana sejumlah RM90 juta daripada 1MDB.

Dalam isu yang sama, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) turut mencelah meminta penjelasan daripada Tony berhubung janji kerajaan Pakatan Harapan terhadap komitmen untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal 1MDB.

“Sehingga kini kita tidak mendapat penjelasan daripada kerajaan sejauh mana hasrat itu dapat diwujudkan dalam suasana pelbagai pendedahan telah dibuat tetapi RCI masih belum diwujudkan,” katanya yang juga Timbalan Presiden PAS.

Tony bagaimanapun menjawab spesifik penubuhan RCI diserahkan kepada menteri untuk menjawab dan menjelaskan hingga setakat ini dua jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi menyiasat skandal 1MDB. – HARAKAHDAILY 19/7/2018