Bekas Adun belum dibukti bersalah

SHAH ALAM: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang direman semalam masih dianggap tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah di mahkamah, kata peguamnya, Ahmad Amzar Ahmad Azlan.

Advertisement

“Kes ini dilihat seperti sengaja dibangkitkan susulan daripada tempohnya hampir dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Seri Setia yang akan berlangsung pada 8 September,” katanya, semalam.

Menurutnya, bekas Adun itu menafikan tuduhan tersebut dan beliau berpegang pada dasar yang mana bekas Adun itu tidak bersalah.

Tambahnya lagi, kemungkinan kes itu hanya mahu mengaburkan mata rakyat terhadap pembatalan siasatan ke atas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang sebelum ini didakwa atas dua tuduhan rasuah.

Kelmarin, bekas Adun itu ditahan jam 5.50 petang di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir untuk memberi keterangan.

Beliau didakwa melantik sebuah syarikat dimiliki anaknya sebagai pembekal bagi Program Masyarakat Pusat Khidmat Dun. – HARAKAHDAILY 5/9/2018