Pemuda perlu jadi agen penyatuan semula bangsa

    KUALA LUMPUR: Pemuda PAS dan Pemuda Umno harus menjadi agen perpaduan ummah dengan mendamaikan sengketa lebih 60 tahun sesama Melayu dan mengembalikan masyarakat majmuk negara ini kepada hidup saling menghormati.

    Advertisement

    Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, sejarah bumi Madinah telah mengajar bahawa sengketa kepuakan dan kepelbagaian bangsa yang ada, berlaku penyatuan dengan formula Islam diterajui Nabi Muhammad.

    “Menggunapakai prinsip Islam, kita boleh menyatukan ummah bukan sekadar Umno dan PAS, tetapi semua rakyat (dalam negara ini) serta mendapat keadilan sewajarnya di bawah naungan Islam,” seru beliau.

    Menurutnya, terbukti formula bangsa dan kaum telah gagal, bahkan di era awal pemerintahan PH kini sedang menyaksikan isu-isu yang mencederakan kaum, berbaur sengketa hingga keamanan selama ini turut tercalar.

    Beliau menerobos ingatan kepada sejarah asal usul negara ini yang namanya dahulu Tanah Melayu, namun dengan semangat Islam, rakyatnya menerima bangsa asing serta diberi kerakyatan kewarganegaraan.

    “Alhamdulillah, hubungan kaum berjalan baik walaupun sesekali ada sengketa, tapi dapat diselesaikan. Tiba-tiba, naik kerajaan baharu, perkenal polisi menggugat (agama dan kaum), menyebabkan rakyat bangkit,” ujarnya merujuk isu ICERD, UEC dan lain-lain dilakukan PH.

    Tegasnya, penyatuan ummah negara ini kian kritikal untuk dipulih dan disegerakan, berikutan mutakhir ini kelihatan semakin melampau ancaman hingga ada yang berani bertindak menghina Islam dan mengaibkan Rasulullah S.A.W.

    “Apa yang membimbangkan saya dan rakan-rakan Pemuda PAS dan Pemuda Umno, bila kita ‘check’ latar belakang (pelaku perbuatan tersebut) mereka ini adalah penyokong tegar PH,” kesali beliau.

    Seru jurutera muda itu, para pelampau sedemikian sungguhpun bertindak atas emosi politik, seharusnya berpada-pada mengkritik lawannya dari PAS atau Umno, tetapi sama sekali tidak wajar hingga bertindak menghina agama. – HARAKAHDAILY 26/2/2019 

    IMG 20190226 WA0015