Umno-PAS sepakat bentuk JK teknikal

pas umno1

KUALA LUMPUR: PAS bersama Umno mengambil keputusan sepakat berhubung hala tuju perbincangan ke arah penyatuan ummah dengan mengambil kira masyarakat Malaysia yang majmuk tanpa meminggirkan agama dan bangsa lain.

Advertisement

Penubuhan satu jawatankuasa khas atau teknikal bersama akan dibentuk untuk memperincikan bentuk kerjasama seterusnya selepas ini.

Demikian kata satu kenyataan bersama dua parti itu selepas mesyuarat pemmpin kedua-dua parti diadakan di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Ia adalah kenyataan bersama antara Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan.

Berhubung jawatankuasa itu, setiap parti akan diwakili lima orang ahli.

Perbincangan juga bersetuju untuk memantapkan kerjasama di Parlimen sebagai pembangkang.

Hasil perbincangan akan dibawa ke peringkat tertinggi dengan rakan-rakan dari parti Umno-BN dan PAS-Gagasan.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan; Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamad; Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; AJK PAS Pusat, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Dr Zuhdi Marzuki. – HARAKAHDAILY 5/3/2019