Kerjasama PAS-Umno ancaman utama PH

KOTA BHARU: Kerjasama antara PAS dan Umno dalam barisan pembangkang pada hari ini merupakan satu ancaman utama kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, banyak kenyataan daripada pemimpin kerajaan yang menggambarkan ketakutan terhadap penyatuan dua parti Melayu terbesar itu.

Menurutnya, kerjasama itu bukan sahaja bertujuan untuk mengabaikan hak kaum lain, malah paling utama ialah menjaga kestabilan negara pelbagai kaum.

“Pengalaman Umno dan Barisan Nasional memerintah 60 tahun dan kita PAS ada Dewan Himpunan Penyokong PAS, tidak benar jika kerjasama ini hanya untuk orang Melayu dan Islam sahaja.

“Tetapi kerjasama ini untuk ummah yang melibatkan semua pihak, malah PAS boleh bekerjasama semua pihak bukan sahaja Umno dan NGO sekalipun,” katanya pada Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kubang Kerian di Maahad Taqadum Maarif dekat sini, pagi tadi.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan, kerjasama PAS bersama Umno dan Barisan Nasional dilakukan selagi mereka dapat menerima prinsip PAS iaitu Islam.

“Kita menyambut baik apa yang disebut oleh Tuan Guru Presiden kita, PAS bukan sahaja bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) sahaja.

“Malah dengan mana-mana pihak dan parti yang ingin bersama-sama dalam muafakat ini, kita alu-alukan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) sekalipun,” katanya.

Sebelum ini menyaksikan pimpinan Pakatan Harapan terus mendakwa kerjasama kedua-dua parti itu tidak kekal lama kerana menjadikan elemen Melayu dan Islam yang disifatkan sebagai rasis.

Malah kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini dengan nada sama turut mendapat bantahan PAS, Umno dan parti kompenan Barisan Nasional seperti MCA dan MIC. – HARAKAHDAILY 9/3/2019