Pilihan raya: Demokrasi adalah kuasa rakyat

PUTRAJAYA: “Tidak sepatutnya pilihan dalam pilihan raya dijadikan satu tekanan kepada rakyat,” kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Advertisement

Beliau berkata, di negara yang betul-betul maju perlu mengamalkan konsep demokrasi yang tidak mengongkong rakyat.

“Dalam demokrasi yang moden, dalam negara yang maju perlu betul-betul mengamalkan konsep demokrasi yang tidak mengongkong rakyat.

“Saya melihat mungkin dalam 10 tahun dulu ada perasaan itu dan akhirnya kita mendapat satu perubahan yang sangat positif jika melihat trend kepada perubahan mengamalkan demokrasi itu berlangsung sebagaimana negara-negara maju,” ujarnya semasa sidang media di Masjid Putra di sini, tengah hari tadi. Turut sama ialah calon PAS bagi Parlimen Putrajaya, Zainal Abidin Kidam. Beliau menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Beliau berkata, rakyat bebas untuk memilih siapa yang mereka mahu sebagai pemimpin dan kerajaan, apatah lagi demokrasi adalah kuasa rakyat di mana pegawai kerajaan dan mahasiswa juga adalah kuasa rakyat.

“Memanglah ada ugutan nombor siri boleh dikesan tetapi itu untuk rujukan SPR yang mengendalikan, bukan untuk kerajaan,” kata beliau.

Beliau menambah, tiada yang berhak menentukan pendirian seseorang untuk memilih sesiapa pemimpin seterusnya.

Hal ini, ujar beliau kerana bercanggah dengan konsep demokrasi yang sebenar dalam negara-negara maju. – HARAKAHDAILY 27/4/2018