Pemuda Perak pelopori agenda penyatuan ummah

KUALA KANGSAR: Pemuda PAS dan Pemuda Umno Negeri Perak mengorak langkah kepada agenda penyatuan ummah dengan memulakan hubungan menerusi Perlawanan Bola Sepak Persahabatan di Stadium Mini, di sini semalam.

Advertisement

Perlawanan yang dipimpin Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Akmal Kamaruddin dan Ketua Pemuda Umno Perak, Mohd Ariff Abdul Majid itu turut disertai Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dasuki dan Yang DiPertua PAS Kuala Kangsar, Dato’ Drs Khalil Idham Lim.

Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Pemuda PAS Perak, Abd Hady Azman selaku urusetia perlawanan meyakinkan semua bahawa sukan antara cabang perlu dimanfaatkan bagi membina kesatuan yang menjadi lembaran baharu politik itu.

Ustaz Akmal pula menyifatkan aktiviti tersebut sebagai reaksi terhadap cetusan kesedaran politik kesatuan setelah menyedari dan bangkit dari noda terhadap kepentingan Islam dan Melayu.

“Saya menjangkakan suasana politik Malaysia akan sentiasa dan semakin panas ekoran kenyataan pimpinan PH yang hanya mementingkan undi bukan Melayu.

“Maka program seumpama ini akan kita lipat gandakan untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa kesatuan dua parti tunjang Melayu ini mampu mengisi kelompongan yang dibuat PH,” ujarnya.

Bagaimanapun perlawanan tersebut tetap menjadi medan Pemuda PAS Perak yang dirangsang semangat “Kejor Yob Kejor” memenangi permainan dengan jaringan 4 – 1 menewaskan Pemuda Umno Perak.

Turut mempamerkan aksi dan menyerikan rentak dalam permainan adalah Timbalan Ketua dan Naib Ketua serta Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak iaitu Ustaz Hafez Sabri, Ustaz Zahid Abu Bakar dan Ustaz Abd Qahar Syams. – HARAKAHDAILY 11/3/2019  

IMG 20190311 WA0014

IMG 20190311 WA0015