PMBK urus ladang PMBK Sawit

KOTA BHARU: Operasi PMBK Sawit, anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ditutup bagi menggelak berlakunya masalah lebih serius.

Advertisement

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan mengambil langkah itu yang dianggap terbaik memandangkan masalahnya sudah lama berlaku.

“Ia berlaku sejak zaman almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz lagi. Namun masalah itu berulang dan terus berulang.

“Jadi kerajaan negeri terpaksa mengambil langkah untuk menutup operasinya,” ujarnya selepas mesyuarat Exco hari ini.

Difahamkan ladang diurus PMBK Sawit akan diambil alih PMBK dan manakala kakitangan syarikat diberi skim pemisahan sukarela (VSS).

Notis kepada kakitangan dibuat PMBK sejak tiga bulan lepas. Operasi pejabat PMBK Sawit di Gua Musang dijangka berakhir hujung bulan ini.

PMBK Sawit diwujudkan kerajaan negeri pada 2006 sebagai langkah menyelesaikan masalah penerokaan tanah kerajaan oleh Felcra.

Felcra membangun tanah kerajaan di Panggung Lalat Gua Musang sejak 1980-an dengan mengambil alih kebun yang diusahakan penduduk secara teroka haram. – HARAKAHDAILY 10/4/2019