Banyak isu pendidikan di era PH

ALOR SETAR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa agar memberi tumpuan untuk meningkatkan kualiti pengukuhan keilmuan pelajar terutama golongan bumiputera di samping menaikkan taraf insfrastruktur sekolah-sekolah menengah yang menawarkan pengajian prauniversiti atau tingkatan enam.

Advertisement

Demikian kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, mengulas kenyataan Exco Pendidikan negeri, Dr Salmee Said yang disiarkan oleh akhbar tempatan baru-baru ini.

“Sebenarnya banyak hal lagi berkenaan pendidikan yang perlu diperdebatkan tetapi soal kuota pelajar non-bumiputera juga yang menjadi pilihan mereka,” katanya.

Dr Salmee, baru-baru ini mencadangkan agar kouta 20 peratus diberi kepada pelajar non-bumiputera untuk mewujudkan persaingan yang lebih sihat.

Sedangkan menurut Dr Ahmad Fakhruddin, banyak isu berkaitan pendidikan menjadi buah mulut perbincangan di kalangan rakyat yang perlu diambil perhatian oleh pemimpin Kerajaan PH daripada mencetuskan pula cadangan lain yang memihak kepada kaum bukan Melayu.

“Bermula dengan peruntukan kewangan kepada sekolah menengah persendirian Cina yang tidak mengikuti sukatan pelajaran kebangsaan, kemudian desakan pengiktirafan sijil UEC oleh DAP, kuota kemasukan pelajar ke MRSM, dan terakhir ini peningkatan kuota 20 peratus pelajar non-bumiputera ke pusat matrikulasi pula,” katanya.

Namun ujarnya lagi, dalam masa yang sama hal-hal berkaitan keperitan serta bebanan tugasan para guru, masalah sosial, disiplin di kalangan pelajar, kemudahan prasarana logistik sekolah dan masalah guru ‘dukalara’ tidak diberi perhatian sewajarnya.

“Ibarat pepatah Melayu, anak kera di hutan disusui anak sendiri di rumah kebuluran,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 23/4/2019