Tolak anasir jahat pihak berkepentingan

DEWAN Pemuda PAS Negeri Sarawak mempersoalkan tindakan segelintir page facebook yang sengaja menaikkan isu yang bersifat provokasi kepada pendakwah Islam di negeri ini. 
 
Kami menolak anasir jahat yang boleh mengganggu gugat kesepaduan kaum seperti ini. Sungguh perkara ini bukan sesuatu yang boleh dijadikan jenaka serta ejekan oleh mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan. 
 
Tugas para pendakwah adalah untuk menyebarkan nilai-nilai kebaikan Islam kepada masyarakat. Mereka juga bertanggungjawab mengembalikan masyarakat Islam kepada ajaran Islam yang sebenar. 
 
Sungguh, mereka tiada niat yang tidak baik untuk memaksa orang bukan Islam menerima ajaran Islam itu sendiri.
 
Seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(al-Baqarah: 256)
 
Selain itu, para pendakwah juga bertanggungjawab untuk menyampaikan maklumat Islam kepada orang bukan Islam dengan berhikmah. Perkara ini sangat penting bagi membetulkan silap faham berkaitan ajaran Islam oleh mereka. Bertitik tolak daripada perkara ini mereka akan lebih memahami dan menghormati batas-batas dalam agama Islam itu sendiri. Begitu juga agama-agama lain turut menekankan keharmonian antara semua kaum dan agama. 
 
Sememangnya negeri Sarawak terkenal dengan julukan ‘truly Malaysia’ sentiasa menjadi perbualan dan contoh dalam kesepaduan antara kaum dan agama. Disebabkan itu, kita anak Sarawak tidak kekok berurusan antara satu sama lain.
 
Seperti firman Allah SWT yang bermaksud :
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
(al-Hujurat: 13)
 
Kami menyeru seluruh umat Islam dan rakyat Sarawak untuk menjaga  keutuhan dan keharmonian yang telah dibina selama ini dengan sebaik-baiknya. Ini kerana, untuk membina satu binaan itu mengambil masa yang lama, akan tetapi untuk merobohkannya sekelip mata sahaja. 
 
HAMDAN SANI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 29/4/2019
Advertisement