LTAK lebih holistik, penuhi strategik Wilayah Utara

RANCANGAN pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (LTAK) yang diluluskan dengan peruntukan RM1.6 bilion sememangnya wajar diteruskan. Bahkan Kerajaan Persekutuan perlu menimbang langkah komprehensif memastikan daya saing LTAK adalah selari memenuhi jangkaan keperluan di masa depan.
 
Ia harus menjadi jauh lebih baik daripada KLIA dan KLIA2 dari sudut perencanaan pembinaannya. Kerana ‘petunjuk’ tersebut telahpun diberikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) telah menerima 9.1 juta penumpang dalam setahun lalu.
 
Walaupun rancangan naik taraf dan pembesaran LTAPP nanti akan dapat menampung 12 juta penumpang, ianya kelak pasti berada di tahap maksimum seperti Lapangan Terbang Subang. Oleh demikian satu pembangunan yang lebih terancang dan futuristik mesti diadakan bagi memenuhi segmen keperluan dan laluan Wilayah Utara.
 
Maka, Kulim adalah lokasi paling munasabah dan holistik pada masa ini sekiranya dibangunkan secara lebih terancang berbanding Sepang. Apatah lagi keperluan dan tuntutan pengangkutan udara kini bukan lagi memenuhi pengguna pelancongan, bahkan juga harian. Ia juga menjadi penyelesaian holistik penyuraian trafik bagi Pulau Pinang.
 
Kerana sebarang pembinaan baharu mahupun pembesaran LTAPP, tidak akan selari dengan usaha pembangunan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Di mana pertambahan penumpang udara akan menyumbang kepada kadar kesesakan sedia ada, sekali gus menjadikan seluruh pembangunan ini tidak efektif sama sekali.
 
Ia hanya akan membazirkan wang dan masa, malah bakal meningkatkan tekanan psikologi dan sosial pengguna, lebih-lebih lagi penduduk negeri ini. Kami hairan dengan nada cemburu yang disuarakan Kon Yeow termasuk menempelak pembinaan LTAK tidak holistik, tetapi ketika sama mendakwa untuk Pulau Pinang lebih holistik.
 
Apakah kajian atau fakta disandar beliau untuk menyatakan sedemikian? Atau Kon Yeow mempunyai motif terselindung ingin merealisasikan projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) yang dibantah banyak pihak? Juga cara beliau menarik peruntukan dan ‘kelulusan mudah’ daripada Kerajaan Persekutuan?
 
Oleh demikian, kami menuntut Kerajaan Persekutuan melaksanakan keperluan ini secara lebih strategik dengan segala faktor dinilai seluruhnya. Juga kami mengingatkan tidak berlaku kelulusan secara dipengaruhi kepentingan, memandang Menteri Pengangkutan datangnya dari parti DAP, sama parti Kerajaan Pulau Pinang.
 
“Terus Mara”
 
AHMAD SAFUAN UJAR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 30/4/2019
Advertisement