Peniaga diberi pilihan henti sementara urus niaga

KOTA BHARU: Peniaga kedai makan di Kelantan diberi dua pilihan sama ada menghentikan sementara perniagaan ketika solat tarawih atau sebaliknya.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, peniaga diberi pilihan sama ada hendak menutup sementara operasi perniagaan jam 8.30 hingga 10 malam.

Bagaimanapun katanya tiada penguatkuasaan dibuat mengenai cadangan itu.

“Apa yang penting rakyat Kelantan perlu memahami harapan kerajaan negeri untuk melihat Ramadan sebagai pesta ibadat.

“Jadi hasrat penutupan sementara perniagaan perlu dibuat dari sudut positif kenapa ia dicadangkan.

“Rakyat sewajarnya rasa bertuah kerana pendekatan itu diambil bagi menghormati solat tarawih sempena Ramadan sekarang,” katanya di sini.

Baru-baru ini tular di media sosial arahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri supaya peniaga menghenti sementara peniagaan ketika solat tarawih.

Dr Izani juga berkata, kepemimpinan Kelantan bermula Sultan Kelantan dan pemimpin kerajaan negeri sentiasa meletakkan Islam di hadapan berbanding perkara lain. – HARAKAHDAILY 14/5/2019