Pemilihan: Tuan Guru, Tuan Ibrahim kekal

KUANTAN: Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS, selepas pencalonan bagi pemilihan parti itu ditutup kira-kira tiga minggu lalu.

Advertisement

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau juga memaklumkan empat nama melepasi syarat untuk bertanding jawatan Naib Presiden PAS termasuk tiga penyandang iaitu Ustaz Idris Ahmad, Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Dato’ Iskandar Abdul Samad dan seorang lagi ialah Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagi jawatan AJK PAS Pusat, jelasnya 29 calon layak bertanding.

Menurutnya, mereka sudah melepas tapisan dibuat dan calon juga diberi masa hingga Rabu ini bagi membuat keputusan untuk meneruskan bertanding atau menarik diri.

Muktamar Tahunan PAS ke-65 akan diadakan di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota di sini pada 21 hingga 23 Jun ini. – HARAKAHDAILY 9/6/2019