Mengapa tak boleh setuju PM pilih Latheefa?

sp

KUALA TERENGGANU: PAS bersetuju dan tidak menjadi masalah dengan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Advertisement

Namun, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempersoalkan, tindakan segelintir pimpinan Pakatan Harapan (PH) sendiri yang tidak bersetuju dengan pelantikan itu.

Katanya, terpulang kepada Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk melantik siapa yang difikirkan layak menerajui SPRM.

“Terpulang kepada PM untuk pilih siapa yang dia mahu, terpulang kepada dialah.

“Kalau pimpinan PH boleh pilih dia jadi Perdana Menteri, mengapa tak boleh setuju dia pilih Latheefa Koya, yang perlu dipersoal?

“Kepada kami itulah, yang penting kita tunggu apa dia laksana tugas itu,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anak Terengganu di Perantauan 2019 di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ A Rahman Yahya serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Terengganu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, kerajaan di bawah pimpinan PAS Kelantan dan Terengganu terbuka untuk disiasat SPRM.

“Kita tidak terlibat dengan sebarang perkara (rasuah), dan kita terbuka sebagaimana saya pernah nyatakan dahulu di mana, kerajaan kita di Kelantan dan di Terengganu terbuka untuk SPRM siasat supaya berjaya mencapai objektif sebuah kerajaan yang bersih,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, kenyataan rasmi PAS mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu telah dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS sebelum ini.

“Setiausaha Agung PAS sudah buat kenyataan dan itulah kenyataan kita,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 9/6/2019