Belum boleh berbangga dengan produk PAS

KUANTAN: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam ucapan dasar Muktamar DMPM ke-59 mengingatkan ahli-ahlinya agar meneruskan usaha memperkukuhkan sembilan produk DMPM yang menjadi penanda aras gerak kerja Muslimat.

Advertisement

Katanya, Muslimat haruslah bertaggungjawab memastikan setiap sendi Muslimat bergerak mengambangkan fungsi produk-produk tersebut.

“Sehingga hari ini, DMPM sudah memiliki sembilan produk sebagai penanda aras gerakerja Muslimat iaitu ‘AKIFI, Ameerah, Nusaibah, Briged Muslimat, Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA), Muslimat Legal Team (MUSLET), Skuad Prihatin, Muslimat Medik Team (MusMedik), Taman Asuhan Tunas Insan (TASTI) dan Kor Munajat ‘AKIFI, yang masing-masing berfungsi untuk mejayakan visi dan misi DMPM.

“Namun, kita masih belum boleh berbangga atau berpuas hati dengan penghasilan produk tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, tiga entiti Muslimat muda iaitu Ameerah, Nusaibah, dan Briged Muslimat yang bertanggungjawab menarik pemudi memahami Islam dan PAS mestilah kekal relevan dan berbudaya secara produktif, sesuai dengan semangat dan keperluan anak mudi masa kini.

“Kita tidak boleh selesa bekerja dan berasa cukup dengan apa yang ada, banyak lagi peluang yang belum diteroka untuk menarik lebih ramai graduan muda, pekerja industri dan tenaga sektor kolar putih menyertai PAS,” jelasnya.

Beliau dalam ucapannya berkata demikian merujuk kepada penyertaan muslimat dalam APSA di semua negeri yang dilihat masih belum menyeluruh.

“Tidak semua negeri yang telah menubuhkan Jabatan APSA, dan peratus keterlibatan naqibah atau bakal naqibah untuk dilatih secara formal sangat kecil di negeri terlibat,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Muktamar DMPM ke-59 di Bukit Gambang Resort City (BGCR), pagi ini.

Dimaklumkan, seramai 17 calon bertanding bagi memenuhi jawatan Ahli Jawatankuasa DMPM dengan kehadiran 723 perwakilan dari seluruh negara.

Bagaimanapun, tiga jawatan tertinggi DMPM sudah pun dipenuhi apabila Ketua DMPM, Nuridah Mohd Salleh, serta timbalan dan naib ketuanya, Dr Rosni Adan dan Salamiah Mohd Nor menang tanpa bertanding.

Tema yang diangkat bersempena Muktamar DMPM yang ke-59 ini ialah ‘Islam Memimpin, Wanita Sejahtera’ yang dirasmikan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. HARAKAHDAILY 15/6/2019