Pengundian Dewan Muslimat guna e-Voting

KUANTAN: Pemilihan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia tahun ini menggunakan sistem e-Voting untuk pewakilan membuat pengundian.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Dr Ahmad Fuad berkata, sistem ini telah diperkenalkan sebelum ini hanya untuk pemilihan PAS Pusat sahaja untuk tahun ini digunakan untuk ketiga-tiga dewan iaitu pemilihan PAS Pusat, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda.

Menurutnya, sistem e-Voting ini juga telah digunakan untuk pemilihan di peringkat negeri dan kawasan.

“Hampir ke semua negeri dan kawasan menggunakan sitem e-Voting ini.

“Pada muktamar dua tahun lepas yang diadakan di Kedah, kita telah mengguna sistem e-Voting ini tetapi password dikawal oleh jawatankuasa pemilih maknanya mereka yang masukkan password, tetapi kali ini kita buat ‘individual password’,” katanya ketika ditemui di dewan pengundian.

Jelasnya setiap perwakilan akan mendapat satu password yang hanya boleh digunakan sekali sahaja, sekiranya hilang perwakilan tidak boleh membuat undian.

“Inilah langkah keselamatan yang dibuat. Walau bagaimanapun kita masih menggunakan kertas dengan setiap perwakilan perlu mencetak kertas undian selepas membuat undian dalam e-Voting.

“Hal ini untuk mengelakkan sekiranya terdapat bantahan melalui jumlah pengundian dalam sistem e-Voting, kita akan kira melalui kertas undian yang dibuang dalam peti undi,” katanya.

Beliau mengharapkan supaya tiada sebarang bantahan yang dibuat melalui keputusan pengiraan dalam sistem e-Voting supaya keputusan boleh dibuat pada jam 5.30 petang selepas undian ditutup pada jam 5.00 petang.

Tambahnya, Malaysia boleh menggunakan sistem e-Voting ini supaya keputusan boleh diketahui lebih awal tanpa perlu mengira kertas undian.

Terdahulu, proses pengundian dimulai pada jam 2.57 petang bermula dengan perwakilan Muslimat Hulu Selangor. – HARAKAHDAILY 15/6/2019

undi