Video: Ahli PAS tak perlu terlibat

ARAU: Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin menasihatkan ahli PAS supaya tidak terlibat atau memberi sebarang pandangan mengenai video intim yang melibatkan mirip seorang menteri yang tersebar baru-baru ini.

Advertisement

Katanya, walaupun PAS menerima kecaman yang dilemparkan oleh parti lawan tersebut, namun pendirian PAS tetap konsisten seperti mana yang berlaku terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim satu masa dahulu.

Ujarnya lagi, PAS mengambil pendirian tidak akan campur tangan dalam isu itu dan percaya jika perkara itu fitnah sudah pasti mereka akan menjawab di mahkamah Allah kelak.

“Saya menyokong penuh dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Orang PAS tidak perlu terlibat dengan isu ini kerana persoalan ini berkait dengan hukum, orang yang menuduh kena bawa bukti dan orang yang dituduh perlu bersumpah jika beliau tidak terlibat,” katanya ketika sesi temuramah di Majlis Terbuka Aidilfitri PAS Kawasan Arau, semalam.

Tambahan pula, ujarnya pelbagai perkara boleh dilakukan pada zaman sekarang dengan menggunakan teknologi yang canggih, namun jika umat Islam berpegang pada dosa dan pahala sudah tentu perkara itu tidak akan berlaku.

Turut hadir pada jamuan tersebut Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli sebagai tuan rumah, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi, Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man dan beberapa Adun lain di negeri ini. – HARAKAHDAILY 18/6/2019