Jangan adili kes transaksi lot tanah di media sosial

KUALA  LUMPUR: Sebanyak 14 transaksi penjualan lot tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah dibatalkan secara ‘mutual agreement’, sementara 81 lagi diteruskan.

Advertisement

Jawapan tersebut diberikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad atas pertanyaan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) semasa Sidang Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.

Che Abdullah dalam soalannya meminta status terkini 97 transaksi lot tanah DBKL itu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Jawatankuasa Khas Kementerian.

“Dua transaksi gagal mencapai persetujuan yang mana satu transaksi di peringkat mediasi di Mahkamah Tinggi ekoran pemaju berpuas hati dengan pembatalan projek,” kata Khalid.

Tambahnya, satu transaksi juga masih menunggu maklum balas syarikat yang berkemungkinan akan mengambil tindakan mahkamah juga ekoran DBKL memutuskan tidak meneruskan transaksi.

Dalam sesi sama Ahli Parlimen Tumpat turut meminta penjelasan ke atas tanah berkenaan yang difahamkan bukan milik DBKL sebaliknya Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

Pun begitu, beliau memberikan sokongan terhadap sebarang pendedahan salah laku untuk diadili di mahkamah secara benar dan bukannya dalam media sosial. – HARAKAHDAILY 1/7/2019