Piagam PAS-Umno akan dimuktamadkan nanti

KUALA LUMPUR: Piagam bersama PAS dan Umno akan diteruskan apabila sampai masanya, demikian kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
 
Maklum beliau, ia belum dapat dimuktamadkan lagi berikutan mesyuarat berkaitannya terpaksa ditangguhkan beberapa kali, namun piagam bersama akan diteruskan di mana kerjasama sudah berjalan.
 
“Ia akan diteruskan apabila tiba masanya. Pilihan raya lambat lagi dan kerjasama sudah berlaku,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, d i sini hari ini.
 
Pagi tadi, Setiusaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan dalam kenyataannya berkata, piagam bersama PAS dan Umno belum dapat dimuktamadkan berikutan kedua-dua parti itu terpaksa menangguhkan mesyuarat beberapa kali.
 
Menurut beliau, sepatutnya mesyuarat itu akan diadakan malam ini, tetapi terpaksa ditangguhkan sebab ada pengundian pindaan Perlembagaan sampai malam, namun piagam itu akan dimuktamadkan secepat mungkin.
 
Piagam PAS dan Umno itu akan dibuat pada penghujung Julai ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man bulan lalu.
 
Menurutnya, proses pembentukan dokumen itu kini memasuki fasa akhir apabila mesyuarat jawatankuasa induk kali kedua yang dianggotai 11 wakil daripada setiap parti. – HARAKAHDAILY 16/7/2019
Advertisement