Presiden PKR dibidas hampir 30 pemimpin kanan

KUALA LUMPUR: Perpecahan dan perang dalam kepimpinan PKR kini sampai ke kemuncaknya apabila hampir 30 pemimpin kanannya mendesak Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghentikan kenyataan yang memecah-belahkan parti.
 
Melalui satu surat perakuan kenyataan bersama dikeluarkan, mereka menempelak sikap Anwar yang tidak membela Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam isu dakwaan terkini yang dihadapi Timbalan Presiden PKR itu, pagi ini.
 
Sedangkan kata kenyataan yang diketuai Zuraida Kamaruddin itu, semasa Anwar diaibkan angkara skandal tahun 1998 dan tahun 2011, Azmin berdiri setia di belakang Anwar mempertahankannya walaupun kemudian polis dan mahkamah mengesahkan skandal itu berlaku.
 
Dalam kenyataan itu juga, mereka menegaskan untuk bersama dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang kini dikaitkan dengan klip video seks melibatkan hubungan asmara sejenis.
 
Terdahulu Azmin menafikan beliau terlibat dalam insiden tersebut di mana semalam Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu turut menempelak Anwar dan menyarankan Ahli Parlimen Port Dickson itu mencermin dirinya dahulu sebelum menuduh Azmin.
 
Ia angkara kenyataan Anwar yang menyebut bahawa jika benar video itu membabitkan Azmin, maka Azmin perlu melepaskan jawatan disandangnya di mana sebelumnya juga Azmin didesak bercuti.
 
“Maka, kami ingin menegaskan bahawa PKR wajib berdiri teguh dan konsisten menentang politik kotor yang digunakan dalam komplot untuk menjatuhkan timbalan presiden.
 
“Kami akan bersama Azmin dan mana-mana pimpinan lain sekiranya mereka diserang dengan cara yang tidak bermoral seperti ini,” kata kenyataan tersebut.
 
Ia dikeluarkan bersama dengan didahului empat Naib Presiden PKR, iaitu Zuraida Kamaruddin, A Xavier Jayakumar, Tian Chua dan Ali Biju.
 
Bersama mereka ialah 19 anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR serta Anggota Parlimen Tebrau, Steven Choong, Jonathan Yasin (Ranau), Willy Mongin (Puncak Borneo) dan Maria Chin Abdullah (Petaling).
 
Pertembungan di antara kem Anwar dan Azmin menunjukkan pertentangan terbuka sejak beberapa hari lalu.
 
Kata kenyataan itu juga, pandangan dibuat Anwar semalam tidak berasas kerana ia dibuat berdasarkan spekulasi semata-mata.
 
Presiden juga ujar kenyataan itu, sewajarnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan Azmin.
 
Sepakat mereka, Anwar juga perlu memberikan fokus kepada perlakuan pakatan yang secara terancang menularkan video seks tersebut yang dianggap sebagai jijik dan berniat jahat.
 
“Kami hairan kerana ketika video fitnah itu ditularkan (sebelum ini), beliau (Anwar) mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan mengatakan bahawa Azmin tidak perlu melepaskan jawatannya.
 
“Justeru berdasarkan penafian tegas Azmin berkaitan hal ini, Presiden sewajarnya mempertahankan Timbalan Presiden demi memelihara muafakat utuh PKR dan tidak sama sekali cuba menggasir (menggali lubang) kedudukan timbalan presiden dalam kerajaan tanpa sebarang asas yang kukuh,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2019
Advertisement