Siri 1: Merdeka – Sejarah awal bermula

Apa itu ‘Kemerdekaan’?

Advertisement

Perkataan ‘Merdeka’ berasal dari perkataan Sanskrit Maharddhika yang bererti ‘Kekayaan, Keagungan dan Kekuasaan’. Dalam konteks kontemporari, istilah ini dalam Bahasa Melayu membawa kepada makna kedaulatan sesebuah negara.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Kemerdekaan merupakan keadaan merdeka atau bebas. Merdeka adalah kebebasan daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain. Hal ini juga membawa maksud bahawa negara yang merdeka tidak bergantung pada yang lain dan berdikari melalui keupayaan sendiri.

Walau bagaimanapun Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam boleh difahami daripada kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera Rom yang bernama Rustum bahawa: “Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk kami merdekakan manusia, dari mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.

Sebelum kedatangan agama Islam, manusia masih terbelenggu dengan penjajahan akal dan hawa nafsu. Orang yang kuat atau kaya akan menindas orang yang lemah atau miskin. Agama Islam diturunkan antaranya dengan tujuan membebaskan manusia daripada penjajahan-penjajahan ini.

Tanah Melayu – Di mana sejarah bermula?

Islam dipercayai datang ke Tanah Melayu bermula pada abad ke-7 Masihi melalui pedagang-pedagang  dari Asia Barat dan China yang menggunakan Selat Melaka sebagai laluan utama dalam akitiviti perdagangan mereka.

Walaupun terdapat Kerajaan Islam Pasai dan Perlak di persekitaran Selat Melaka di zaman itu, tetapi Islam berkembang dengan pesat dan cepat keseluruh Tanah Melayu dan Nusantara apabila Sultan Melaka iaitu Parameswara memeluk Islam pada tahun 1402 Masihi, dan diteruskan oleh anak baginda Megat Iskandar Shah. Dan di zaman Sultan Muzzafar Shah (1446-1456) Islam telah dijadikan agama rasmi kepada Kerajaan Kesultanan Melaka.

Apabila Sultan yang menjadi ketua negara memeluk agama Islam, maka rakyat turut mengikut jejak langkah pemimpinnya dengan memeluk agama Islam secara beramai-ramai tanpa paksaan dan pertumpahan darah. Pedagang-pedagang Islam yang berdagang ke Melaka pula turut membawa bersama ulamak-ulamak. Para ulamak  inilah yang telah menjadi guru agama di Melaka dan mengajar di surau dan madrasah.

Sifat agama Islam yang sangat toleransi, adil, dan rasional serta meliputi semua aspek kehidupan telah menarik minat golongan istana dan rakyat untuk menganut agama Islam dan berjaya mengislamkan keseluruhan Tanah Melayu.

Dari sinilah (1402 Masihi) bermulanya kemerdekaan yang sebenarnya (hakiki) sesuai dengan tuntutan dan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Islam yang dianuti oleh Raja dan rakyat jelata membawa konsep membebaskan manusia daripada menyembah dan mengagungkan sesama manusia kepada menyembah Allah dalam bentuk ‘Ubudiyah dan kepatuhan kepada syariat Allah dan segala tuntutannya.

Dari sudut sejarahnya selepas kedatangan Islam dan pembentukan Kerajaan Melaka yang bercorak ke-Islaman, didapati proses Islamisasi dalam bidang undang-undang, sosio-budaya dan politik berterusan berlaku. Dalam bidang undang-undang dimulai dengan undang-undang Kanun Melaka dan Kanun Laut Melaka, diikuti pula dengan Kanun Pahang dan seterusnya Kanun Kota Setar dan lain-lain. Demikian juga dengan Perlembagaan Terengganu dan Perlembagaan Negeri Johor.

Perubahan dalam bidang sosio-budaya juga berlaku di mana orang Melayu telah menghayati nilai-nilai akhlak Islam dalam kehidupan yang terangkum dalam adab-adab kehidupan mereka seperti adab berpakaian, adab berbahasa, adab berjiran dan sebagainya. Dalam bidang politik, pemerintah dianggap sebagai pemimpin di mana kekuasaan politik itu merupakan satu amanah Allah dan para pemimpin diminta bertindak mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh Islam.

Kemakmuran dan keadilan yang dikecapi hasil kemerdekaan hakiki ini tidak hanya dinikmati oleh orang-orang Melaka sahaja, bahkan Islam berkembang dengan pesat sehingga meliputi wilayah Filipina, Kepulauan Indonesia hingga ke Timur Jauh di kepulauan Maluku dan Papua. Islam diterima dengan baik oleh Raja dan rakyat jelata tanpa sebarang pertumpahan darah. Ajaran Islam yang sangat praktikal dengan kehidupan manusia yang bertunjangkan kepada ‘Ubudiyah kepada Allah, menjamin keadilan sosial, menghormati agama lain.

Kemerdekaan hakiki yang dinikmati oleh rumpun Melayu di zaman Kesultanan Melayu Melaka yang bertunjangkan kepada ‘Ubudiyah Islam berjaya menaikkan taraf sosio ekonomi rakyat dan  menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan yang terkenal bukan sahaja di Nusantara bahkan di dunia. Sejarah telah menunjukkan bahawa pedagang-pedagang Arab, Parsi, India, China dan Portugis turut melakukan aktiviti mereka di Melaka.

Sehingga hari ini kita masih lagi boleh bertemu dengan keturunan orang-orang Cina (Baba), India (Chetiar), Arab yang datang di zaman kegemilangan Melaka. Mereka ini dapat beradaptasi dengan bahasa, budaya dan adat resam Melayu dengan begitu baik sekali berbanding dengan mereka-meraka yang datang ke Tanah Melayu dizaman penjajahan British.

Kejayaan Melaka sebagai pusat perdagangan, pemerintahan dan penyebaran Islam yang terkenal sangat-sangat dicemburui oleh musuh-musuh Islam khususnya orang-orang Eropah dikalangan penganut agama Kristian terutamanya Portugis, Belanda dan British.

Kegemilangan Kesultanan Islam Melaka beransur-ansur malap apabila Sultan dan Pembesar Negara  mula terlena dengan kekayaan yang dikecapi dan melupakan tanggungjawab dalam melaksanakan keadilan kepada rakyat jelata.

Inilah antara faktor penyumbang kepada kejatuhan Kesultanan Melayu pada tahun 1511 di tangan angkatan perang Portugis dibawah pimpinan Alfonso de Albuquerque. Dari sinilah bermulanya penjajahan dalam bentuk fizikal, fikrah dan ideologi terhadap orang Melayu di tanah tumpah darahnya sendiri dan memerlukan satu perjuangan yang sangat panjang untuk mengembalikan kemerdekan yang berteraskan kepada ‘Ubudiyah kepada Allah. S.W.T. – HARAKAHDAILY 19/8/2019

Bersambung….

*Penulis merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu dan Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka.