Cabaran Mr Awang Selamat di tempat terbuka

KOTA BHARU: Cabaran Mr Awang Selamat patuh syariat akan diadakan di lokasi terbuka dan bukan lagi tertutup seperti pernah dianjurkan sejak 2006.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, agama Islam menggalakkan sukan selagi aktiviti tersebut menepati tuntutan syariat.

Oleh itu katanya, cabaran Mr Awang Selamat tahun ini dirancang diadakan di tempat terbuka untuk memberi pendedahan kepada golongan belia dan orang ramai terhadap sukan patuh syariat.

“Sebelum ini kita adakan di dewan tertutup di mana orang perempuan tidak dibenarkan masuk. Penganjuran tahun ini kita akan lakukan di pasar raya selaras Enakman Kawalan Hiburan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk Cabaran Mr Awang Selamat Kelantan 2019 di Mabna MBI hari ini.

Turut hadir Timbalan Exco Zuraidin Abdullah; Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) Ustaz Nasruddin Mahmud Muhaidin dan Yang Dipertua Persatuan Awang Selamat Anak Kelantan (Pasak), Azaizuree Ahmad.

Acara yang dianjurkan U-Bes dengan kerjasama Pertubuhan Awang Selamat Kelantan (Pasak) akan diadakan pada 12 Oktober depan di Dewan Puteri Saadong, Grand Riverview Hotel. – HARAKAHDAILY 17/9/2019