Belum masa lagi PAS sertai Kerajaan Perlis

Shukri

KANGAR: Pentadbiran Kerajaan Perlis sekarang yang diketuai Menteri Besar, Dato’ Seri Azlan Man dengan dibantu barisan Exco dianggap sudah baik.

Advertisement

Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Shukri Ramli berkata, buat masa sekarang tiada keperluan untuk PAS turut menyertai pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kecuali ada keputusan baru di peringkat pimpinan tertinggi kedua-dua parti, maka kita akan akur.

“Lagi pun kedudukan kerajaan yang sedia ada sekarang sudah elok, baik diteruskan saja seperti biasa,” katanya yang juga Adun Sanglang di sini.

Semalam, Menteri Besar berkata, kerajaan Perlis bersedia melantik wakil rakyat PAS untuk mengisi kekosongan Exco sekiranya mendapat lampu hijau pimpinan pusat.

Menurutnya beliau tiada masalah untuk mengisi jawatan tersebut selepas terjalin muafakat nasional dengan PAS.

“Bagaimanapun saya perlu menunggu lampu hijau dari kepimpinan tertinggi kedua-dua parti itu sebelum melaksanakannya,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri.– HARAKAHDAILY 19/9/2019