Hubungan PAS lebih dekati BN berbanding PH

BAYAN BARU: PAS langsung tidak menyambut kekalahan BN pada PRU14 lalu dengan kegembiraan kerana merasa mempunyai hubungan yang lebih dekat dengan BN berbanding daripada PH.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menghurai sikap tersebut sebagaimana kecenderungan pernah ditunjukkan Rasulullah S.A.W dan para Sahabat R.A terhadap Kerajaan Rom.

Jelas beliau, kaum Muslimin ketika itu tidak bergembira dengan kekalahan Kerajaan Rom yang beragama Nasrani kepada Kerajaan Parsi penganut Majusi kerana adanya hubungan agama.

“Agama Majusi menghampiri Yahudi, berbanding Nasrani yang menghampiri Islam. (Namun) Selepas PRU14, Allah (menunjukkan ikatan itu apabila) menyatukan hati-hati umat Islam (PAS dan Umno). Hinggakan penyatuan ini mendapat perhatian negara-negara Arab,” ujarnya menyifatkan hal tersebut telah menjadi teladan kepada umat Islam yang bergolak di Timur Tengah.

Beliau berkata demikian sebagai mengimbas dan mengulas perkembangan terkini politik negara pada Ceramah Muafakat Nasional anjuran PAS Kawasan Bayan Baru di Markas PAS Sungai Tiram, di sini kelmarin dahulu.

Sehubungan itu serunya, menjadi kewajiban PAS dan Umno bertindak melakukan semak dan imbang (check and balance) terhadap Kerajaan PH yang memerintah sekarang atas pelbagai perkara telah dilakukan.

Ketika sama peringatnya, muafakat kedua pihak mesti dijaga sebaiknya kerana ia menjadi agenda musuh untuk memecahkannya terutama dengan isu-isu seperti pemilihan kerusi dan seumpamanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menyeru agar agenda muafakat itu diperkukuhkan hingga ke peringkat akar umbi termasuk dengan istiqamah menjaga ibadah dan amalan wajib harian.

Kehadiran ramai ke majlis ini dilihat menjadi reaksi awam atas solidariti kepada agenda Muafakat Nasional dan juga kempen Buy Muslims First, selain kebimbangan isu doa Kristian, termasuk isu-isu Kerajaan DAP.

Hadir sama adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican serta Ahli Majlis Kerja MIC Pusat, Datuk M Nyanasegaran.

Majlis juga diserikan dengan penyerahan borang permohonan keahlian Dewan Himpunan Pendukung PAS serta kaunter langganan Harakahdan kaji selidik melalui QR Code. – HARAKAHDAILY 7/10/2019