Penting sahkan sesuatu berita sebelum sebar

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir menyatakan betapa pentingnya sesuatu berita disahkan oleh seseorang sebelum disebarkan atau diterbitkan dalam sebarang bentuk media sama ada media cetak atau media elektronik.

Advertisement

Menurutnya, disebabkan kegagalan seseorang mengesahkan sesuatu berita sama ada benar ataupun salah boleh memberikan mudarat yang besar kepada pihak yang lain.

“Akta Antiberita Tidak Benar hadir tepat pada masanya ketika penilaian kesahihan terhadap sesuatu berita kelihatan terlalu longgar khususnya di medan sosial.

“Kini ia menjadi persoalan mengapa kerajaan seolah-olah terdesak untuk memansuhkan akta ini,” katanya ketika membahaskan pindaan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019.

Setelah ia ditolak oleh Dewan Negara, kerajaan PH tidak terkecuali daripada fitnah-fitnah seperti isu fitnah Menteri Kabinet, malah sebelum ini Perdana Menteri juga tidak terlepas daripada fitnah tersebut.

Tambahan pula, katanya kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia pada 14 September 2019 yang lalu meminta agar penyebaran fitnah ini diberhentikan serta merta.

“Hal ini kerana jelas menunjukkan penyebaran fitnah semakin berleluasa terutama fitnah terhadap pemimpin dan kerajaan sendiri,” ujarnya..

Jika pemansuhan demi menunaikan manifesto yang telah ditetapkan oleh PH, beliau berpandangan rakyat masih menunggu pelaksanaan janji-janji yang lebih mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Jelasnya, akta itu menutup pintu mudarat tetapi mengapakah pintu mudarat tersebut mahu dibuka kembali dengan dihapuskan akta ini.

Penyebaran berita tidak benar bukan sahaja menyebabkan musibah yang besar kepada rakyat bahkan juga telah mencalarkan maruah dan membuka aib seseorang jika tiada langkah pencegahan yang berkesan dikenakan.

Bagaimanapun, katanya, Islam telah memberikan peringatan sepertimana satu hadis Nabi S.A.W. yang bermaksud tidaklah seseorang menutup aib orang lain di dunia melainkan Allah menutup aibnya di akhirat kelak.

“Saya berpandangan seharusnya akta ini dilihat dari sudut komplimentari pelengkap kepada beberapa akta sedia ada serta sebagai suatu kawalan pencegahan bagi meyekat berleluasanya penyebaran berita palsu dan berita fitnah.

“Apa yang mendukacitakan kita adalah penyebaran berita palsu dan fitnah semakin menjadi-jadi,” ujarnya.

Tambah beliau, ketika berdepan dengan pilihan raya, fitnah perang persepsi berita palsu menjadi medan peperangan utama khususnya di medan sosial.

Katanya, semua ini gambaran yang harus dijauhkan daripada menjadi satu budaya berpolitik di negara ini.

Sementara itu, pada tahun 2016, Sarawak Report pernah mengeluarkan satu tuduhan PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno berasaskan kepada kecurigaan semata-mata.

Sedangkan, jelasnya, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh mantan Pesuruhjaya SPRM membuat pengakuan bahawa PAS tidak pernah menerima kemasukan 90 juta daripada 1MDB. – HARAKAHDAILY 8/10/2019