Isu minyak sawit: Wujudkan satu alternatif

SAYA menyambut baik pendirian Perdana Menteri berkenaan isu Jammu dan Kashmir di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bulan lepas meskipun ia telah mengundang pelbagai reaksi mengenai pendirian tersebut termasuklah desakan pengurangan import minyak sawit dari Malaysia oleh Kerajaan India.

Advertisement

Walaupun Kerajaan India masih belum mengeluarkan pendirian rasmi berkenaan isu tersebut, kerajaan dinasihatkan agar mewujudkan satu pelan alternatif sebagai ‘backup plan’  sekiranya Kerajaan India benar-benar menghentikan pengimportan minyak sawit. Hal ini, bagi mengelakkan kelembapan industri minyak sawit berterusan serta mendorong peningkatan stok minyak sawit negara.

Selain itu, peningkatan pasaran baru seharusnya diperluaskan dan diterokai lagi oleh Kerajaan dengan menyasarkan negara-negara yang berpotensi selain China dan Pakistan untuk memasarkan minyak sawit secara komersial.

Kempen peningkatan penggunaan domestik minyak sawit dan produk-produk berkaitannya perlu dipergiat bagi mengelakkan lambakan stok minyak sawit berlaku tanpa kawalan serta sebagai langkah berjaga-jaga selain usaha Kerajaan sendiri menjernihkan semula hubungan baik antara Malaysia dan India.

India merupakan negara terbesar pengimport minyak sawit negara kita selain China dengan jumlah import sebanyak 2.5 juta tan metrik pada tahun 2018 dan 3.9 juta tan metrik bagi tempoh Januari hingga September 2019.

Tidak mustahil, seandainya Kerajaan India menghentikan pengimportan minyak sawit, saya percaya ini akan memberi impak yang besar kepada pembangunan ekonomi negara khususnya terhadap industri komoditi sawit negara.

Justeru, Kerajaan disarankan menyediakan contingency plan bagi menghadapi kemungkinan yang berlaku dalam industri komoditi sawit ini agar pendapatan pekebun kecil tidak terjejas.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 25/10/2019