PAS galak ahli sertai sektor pertanian

BUKIT GANTANG: PAS menggalakkan ahli-ahlinya menyertai pelbagai bidang dalam sektor pertanian kerana ia merupakan  sumber pendapatan yang stabil dan mampu meningkatkan ekonomi keluarga.

Advertisement

Pertumbuhan penduduk semakin meningkat telah membuka peluang luas dalam menyediakan sumber makanan dengan harga berpatutan sesuai dengan perkembangan ekonomi negara dan global yang tidak menentu.

Saranan tersebut dikemukakan Naib Ketua Muslimat PAS Negeri Perak, Husna Saidon dalam program Kempen Ternak Ayam Kampung bertempat di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Bukit Gantang, Kampung Bukit Chempedak, dekat sini kelmarin dahulu.

“Bidang pertanian adalah pekerjaan para Nabi dan Rasul dahulu dan mereka terlibat dalam pelbagai sektor seperti penternakan, perladangan, perikanan dan sebagainya.

“Sebagai permulaan, penternakan ayam kampung boleh dilakukan secara sambilan di rumah kita khususnya mereka yang tinggal di kampung-kampung seperti mana yang biasa dilakukan oleh ibu bapa kita.

“Kita perlu mengambil peluang yang terbuka luas waktu ini di mana produk keluaran Muslim mendapat sambutan hangat dan saya yakin permintaan ke atas ayam kampung turut mendapat permintaan tinggi termasuk daripada bukan-Muslim,” katanya.

Sementara itu penceramah jemputan, Dr Faiz Muhamad Khair yang merupakan Pegawai Veterinar di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Taiping telah memberikan penerangan yang teperinci cara mengurus ternakan ayam kampung dengan betul dan sistematik.

Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai jenis serta sumber ayam kampung yang terbaik, lokasi yang sesuai untuk menternak, sistem pemeliharaan, kaedah pembiakan dan penjagaan kesihatan ternakan.

Seramai 53 pesrrta dari seluruh negeri telah mengambil bahagian dalam program yang julung kali dianjurkan oleh Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) Muslimat PAS Perak ini. – HARAKAHDAILY 19/1/2020