Lanjutan pajakan tanah untuk bantu rakyat

SETIU: Satu persatu kejayaan berjaya dicapai dibawah pemerintahan PAS di negeri Terengganu setelah menaungi tampuk pemerintahan sejak PRU14 yang lalu.

Advertisement

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata antara kejayaan yang dikecapi ialah Kerajaan Terengganu telah berjaya membuat pembaharuan pada dasar tanah negeri.

Menurutnya, penambahbaikan dilakukan dari masa ke masa untuk membuka peluang yang baik kepada rakyat terutama membantu golongan berpendapatan rendah.

“Antara beberapa pembaharuan yang telah dilaksanakan ialah menaikkan tempoh pajakan mukim bagi tanah pertanian telah dinaikkan daripada 60 tahun kepada 99 tahun.

“Ianya sama sebagaimana tempoh pajakan mukim tanah bangunan dan kediaman. Mohon maaf, kerajaan tidak dapat nak bagi tempoh pajakan sehingga 999 tahun,” maklumnya.

Sementara itu, kelayakan untuk memohon bayaran premium tanah secara ansuran juga telah dinaikkan daripada pendapatan bulanan tidak melebihi RM700 kepada pendapatan RM1,700 sebulan.

“Dengan ini lebih ramai rakyat yang kurang berkemampuan layak untuk mohon bagi membayar premium tanah secara ansuran selama tempoh tiga tahun.

“Selain itu, permohonan tanah haram turut dibuka semula bermula Mei 2019 sehingga Disember 2020 setelah ia ditutup sebelum ini pada tahun 2012,” jelasnya.

Beliau yang juga Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Setiu, menyeru agar rakyat Terengganu merebut dan memanfaatkan peluang ini sebaiknya sebelum tiba tamat tempoh.- HARAKAHDAILY 7/2/2020