Tunggu notis saman, sedia berdepan di Mahkamah

IPOH: Persoalan dilontar Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perak, Dato’ Asmuni Awi sepatutnya dijawab, tetapi sehingga ke hari ini tiada sebarang penjelasan.

Advertisement

Sebaliknya sidang media peguam mewakili Pengerusi PAN Perak itu 11 Februari lepas tertumpu kepada ugutan tindakan saman kepada Hafez yang mengeluarkan kenyataan mewakili PAS Perak atas isu membawa suara umat.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud menegaskan demikian pada sidang media berhubung isu program politik dalam premis surau di Pejabat Perhubungan PAS Perak, di sini semalam.

“Kenyataan media PAS Perak bersifat persoalan terhadap isu melibatkan sensitiviti agama dan kemasyarakatan serta tidak menimbulkan fitnah kerana telah menjadi keresahan rakyat, malah sangat berpatutan dibangkitkan.

“Ianya tindakan wajar kerana tiga hari selepas program tarian naga, bakar mercun dan ucapan pemimpin politik dalam premis Surau Al-Qomar awal bulan ini tiada sebarang maklumbalas daripada pihak kerajaan (EXCO Agama) khususnya.

“Saya difahamkan ianya juga melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang juga di bawah seliaan EXCO Agama Negeri Perak,” ulas peguam PAS Perak.

Katanya lagi, pihak PAN Perak tidak perlu menunggu tujuh hari sebagaimana sidang media mereka pada 11 Februari lalu, sebaliknya boleh memfailkan saman segera jika perlu, kerana pihak PAS Perak bersedia berdepan di mahkamah.

“Paling penting untuk dimaklumkan, tiada permohonan maaf dan penarikan balik kenyataan media daripada pihak PAS Perak ke atas isu ini dan kita akan terus membela Islam,” tegas Wan Rohimi.

Sementara itu, Setiausaha PAS Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata, tindakan pihak pembangkang melontarkan persoalan memohon pencerahan terhadap isu kepada kerajaan adalah amalan biasa bagi sesebuah negara demokrasi.

Jelasnya, banyak lagi isu berkaitan Islam yang menjadi tanggungjawab EXCO Agama yang hendak ditanya bagi mendapatkan penjelasan termasuk isu berlaku sebelum ini dilihat telah mengambil tindakan terpilih.

Menurut rekod, program ‘Buy Muslim First’ (BMF) yang akan dirasmikan Timbalan Mufti Perak anjuran NGO sebelum ini segera diberi perhatian EXCO Agama sehingga dikeluarkan arahan pembatalannya seolah-olah menyalahgunakan masjid.

Turut hadir dalam sidang media yang berlangsung hampir setengah jam, ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahya dan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait serta pimpinan PAS Perak. – HARAKAHDAILY 15/2/2020