Tiada pintu belakang, rumah PH terbakar musnah

BANGI: Tidak sepatutnya timbul sama sekali isu bahawa PAS-Umno serta parti-parti yang kini dalam gabungan baharu mendapat kerajaan secara pintu belakang kerana pembentukannya berlaku menurut lunas undang-undang.

Advertisement

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menyangkal dakwaan daripada pimpinan Pakatan Harapan yang menuduh sedemikian, bahkan gabungan baharu sama sekali tidak bertindak seperti difitnah.

Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Negeri Kelantan berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Bangi Kali Ke-30,di sini semalam.

“Mereka tuduh kita masuk pintu belakang. Sebenarnya tiada pintu belakang, sebab PH bukan sahaja pintu, (tetapi) dengan rumah-rumah terbakar. Jadi tidak timbul kita masuk pintu belakang, sebab rumah tu dah hancur. Siapa hancurkan? Perdana Menteri PH yang hancurkan, bukan PAS.

“Yang letak jawatan adalah Perdana Menteri mereka, yang lompat ahli mereka, yang ‘u-turn’ masuk ’roundbout’ pun mereka. Maka tiada isu pintu belakang,” ujarnya pada majlis di Dewan Seri Cenpaka MPKJ Saujana Impian.

Kata beliau lagi, semua terkejut dengan keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan di mana ia memberi impak besar kepada negara hingga turut menyebabkan Kerajaan PH tumbang.

Siti Zailah juga optimis dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan melantik Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Insya-Allah beliau orang yang sesuai untuk menjadi PM berdasarkan mpengalaman beliau menjadi Timbalan PM dan Menteri Kabinet,” kemukanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2020