Khalid Samad mohon maaf kepada Presiden PAS

SHAH ALAM: Bekas Menteri Wilayah, Khalid Samad menyatakan permohonan maaf dan menarik balik kenyataan kontroversinya terhadap Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menyebabkan timbul rasa tidak senang hati dalam kalangan penyokong PAS.

Katanya yang langsung tidak berniat untuk membuat serangan peribadi terhadap presiden PAS itu.

Namun, disebabkan nasihat daripada Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang, beliau mengambil keputusan untuk berbuat demikian.

Advertisement

“Saya dengan ini menarik balik kenyataan mengatakan presiden PAS (Abdul Hadi) sudah ‘tidak center’ dan meminta maaf,” katanya dalam satu sidang media yang turut disiarkan secara langsung di Facebook Malaysia Dateline.

Walau bagaimanapun, Khalid masih ego mempertahankan kenyataannya kononnya politik PAS bukan politik Islam sebenar.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengekalkan pendapatnya bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan pintu belakang dan tindakan PAS hari ini disifatkannya membelakangkan perjuangan sebenar Almarhum Ustaz Fadhil Noor dan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz

Hal ini katanya kerana Ahli Parlimen Marang itu telah mengkhianati perjuangan PAS yang bebas daripada perkauman dan penyelewengan namun bekerjasama dengan Umno dan menyertai kerajaan Perikatan Nasional.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN) itu sebelum ini telah menyifatkan presiden PAS sebagai ‘tak center’ dalam satu wawancara selepas diminta mengulas kenyataan presiden parti Islam itu berkaitan PAS sebagai model politik Islam yang boleh dicontohi oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Sementara itu, beliau turut mengatakan bahawa menunggu pemimpin PAS menegur pengikut parti itu yang cenderung kepada keganasan namun tiada seorang pun berbuat demikian.

Khalid baru-baru ini telah didatangi sekumpulan individu yang dilaporkan berkelakuan kasar dan membuat provokasi ketika beliau berada di Kuala Terengganu sehingga mendorong Ahli Parlimen Shah Alam itu membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.- HARAKAHDAILY 16/3/2020