Sikap adil jamin kaum bukan-Melayu tidak dipinggirkan

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Islam memberi keadilan untuk semua masyarakat majmuk yang berbeza dari konsep atau ideologi Timur dan Barat di mana meletakkan pemimpin mestilah dalam kalangan pendukung atau menganut ideologi tersebut.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kerana negara ini meletakkan Islam sebagai pegangannya, maka mestilah pemimpinnya juga dalam kalangan orang Islam yang boleh melaksanakan Islam dengan cara sebaik serta seadilnya.

“Ini bergantung kepada bukan sahaja Islamnya pemimpin itu, ilmu pengetahuan, integritinya, termasuklah mempunyai dukungan dominasi kaum umat Islam itu.

“Bila Nabi kita Muhammad S.A.W memperkenalkan pemerintahan Islam masyarakat majmuk di Madinah, (Baginda) memperkenalkan kaum Quraisy yang menganut Islam sebagai pendukung.

“Dengan sebab itu bila Nabi Muhammad sudah wafat, maka para Sahabat memilih pemimpin kalangan Sahabat-sahabat yang ada,” ujarnya pada program Bicara Naratif TV1 membicarakan tajuk Kabinet Perpaduan Ummah di Angkasapuri, di sini sebentar tadi.

Perinci beliau, terdapat tiga pendapat dalam kalangan umat Islam ketika itu di mana pertama memilih Abu Bakar, kedua mencadangkan Ali K.W dan ketiga mencalonkan Sa’ad bin Ubadah.

Pilihan pertama jelasnya, berdasarkan kepada ketokohan Abu Bakar dan Quraisynya, manakala kedua kerana baka dan keturunan iaitu Ahlil Bait, sementara ketiga disebabkan kepada siapa sahaja kalangan orang Islam.

“Akhirnya mereka membuat keputusan memilih Abu Bakar, yang punya ketokohan, punya pengaruh. Dengan sebab itu dalam sejarah Islam, bukan sahaja orang Arab memimpin.

“Bila terdapat kaum lain yang menganut Islam, punya wibawa melahirkan pemimpin yang mempunyai ketokohan, dipilih kalangan bangsa itu, bangsa Turki, bangsa Qurdisy.

“Maka dalam konteks negara Malaysia kita, sudah tentu kita mengambil kira orang Melayu Islam dan Bumiputera. Ini perlu kita kemukakan sebagai pemimpin, kerana didukung oleh kaum bangsa yang menghaibatkan pemimpin ini,” jelasnya.

Bahkan terangnya lagi, kerasulan juga dilantik oleh Allah Taala dengan didukung oleh kaum dia sendiri, selain penting membawa mesej Islam untuk semua, sebagaimana Nabi Muhammad memperkenalkan Sahifah Madinah, iaitulah kontrak sosial.

Jelas beliau, ia diperkenal dengan melibatkan orang-orang bukan-Islam dengan menerima konsep Islam adil untuk semua, iaitulah mereka yang tidak ekstrem kalangan bukan-Islam dan bersifat dengan keterbukaan.

“Ini kita perkenalkan. Dalam konteks Malaysia, kita telah berjaya. Ada parti-parti politik yang ditubuh di masa kita memperjuangkan kemerdekaan. Umno, PAS, MCA, MIC, PBB di Semenanjung, parti USNO tidak ada. Ini parti yang ada di masa itu.

Yang mendominasi kaum ialah parti orang Melayu. Dan kita telah berjaya mewujudkan Perlembagaan di masa itu. Iaitulah meletakkan Islam agama Persekutuan, dalam masa yang sama mewujudkan Raja-raja dengan kedudukannya di kalangan orang Melayu, dan ketiga mengiktiraf kebebasan hak beragama kepada agama lain.

“Bahkan kita menunjukkan bahawa negara kita paling tidak perkauman. Di mana kita menerima masyarakat lain dengan budaya, dengan bahasa mereka. Tidak ada negara dalam dunia yang membenarkan kaum bangsa lain menggunakan bahasa, buka sekolah bahasa dia melainkan di Malaysia,” ujarnya.

Beliau juga selaku Ahli Parlimen Marang mengajak semua itu dipertahankan dan membidas mereka yang menuduh hal itu adalah perkauman bermakna ia zalim dan bersifat sangat tidak benar.

Katanya, penubuhkan Perikatan Nasional yang mengambil alih pemerintahan negara ini walaupun dominasi terlalu besar dari parti kaum Melayu iaitulah Umno, PAS, dan BERSATU, namun telah membuka kunci memecahkan perkauman.

Hal tersebut kupasnya, dizahirkan melalui Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, apabila PAS dan Umno mendukung calon MCA, dalam kawasan majoriti Melayu untuk kita menerima kalangan bukan-Islam oleh orang Melayu.

“Kerana kita mendapat jumlah yang sedikit kalangan bukan-Islam yang tidak ekstrem. Dengan sebab itu kita berjaya menonjolkan MCA dahulu dalam masa yang sama boleh dilantik.

“Alhamdulillah Perdana Menteri kita melantik Kabinet kalangan yang tidak Ahli Parlimen, kalangan profesional, kalangan kaum lain. Ini dapat diwujudkan untuk wujud keseimbangan dengan cara yang saksama,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 17/3/2020