Pemuda PAS tawar khidmat jaga anak petugas perubatan

KOTA BHARU: Ketika negara dilanda wabak Covid-19, kakitangan Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II antara yang berada di barisan hadapan untuk memberi khidmat terbaik dalam menangani wabak tersebut.

Mengambil kira pengorbanan mereka tanpa mengira siang dan malam Pemuda PAS Tanjong Mas tampil menghulur sumbangan makanan kepada mereka.

Advertisement

Ketuanya, Muhammad Aminuddin Bunyamin berkata, sumbangan bekalan makanan itu diagihkan kepada petugas perubatan termasuk doktor, jururawat, pembantu perubatan, ahli farmasi, pemandu ambulan dan pengawal keselamatan.

Katanya, selain memberi sumbangan makanan pihaknya juga menawarkan khidmat jagaan anak-anak supaya mereka boleh berkhidmat demi kepentingan masyarakat dan negara.

“Kami berharap rakyat bersatu hati memberi sokongan dan bantuan kepada mereka yang bertugas di sektor-sektor penting ketika wabak Covid-19 sedang menular sekarang,” katanya selepas menyerah sumbangan itu malam tadi.

Turut hadir doktor pakar di Jabatan Kecemasan HRPZ II, Dr Wan Rasydan Wan Abdullah, Dr Syed Shahrul Syed Shamsuddin dan Penolong Pegawai Perubatan, Aswadi Mohamad. – HARAKAHDAILY 19/3/2020