Exco Perak yang baharu berintegriti – UMMAH

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) merakamkan tahniah di atas pelantikan baharu barisan Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan Negeri Perak.

Advertisement

Majlis angkat sumpah Exco berlangsung pagi tadi di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah di Istana Kinta, Ipoh.

“UMMAH amat yakin bahawa barisan Exco yang dilantik tersebut adalah dari kalangan yang berintegriti, berwibawa serta bersedia memikul tanggungjawab yang diamanahkan untuk kepentingan agama, rakyat dan negeri Perak, kata Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa.

Seramai tujuh anggota Exco kerajaan negeri Perak telah mengangkat sumpah jawatan hari ini terdiri daripada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)dari parti Umno iaitu ADUN Kota Tampan, Dato’ Saarani Mohamad, ADUN Kampung Gajah, Dato’ Dr Wan Norashikin Wan Noordin dan ADUN Rungkup, Dato’ Shahrul Zaman Yahya.

Dua ADUN dari parti PAS, iaitu ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin, ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria, dua ADUN dari parti BERSATU iaitu, ADUN Kuala Kurau, Dati’ Abdul Yunus Jamhari dan ADUN Tualang Sekah, Dato’ Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Sehubungan itu, Mohd Zai berpendapat komposisi barisan Exco dari gabungan tiga buah parti politik iaitu BERSATU, PAS dan UMNO adalah bukti bahawa perubahan politik yang berlaku di negeri Perak adalah dibina dengan niat ikhlas demi agama, rakyat dan negeri Perak tersebut.

“UMMAH mengharapkan dengan pembentukan kepimpinan baru kerajaan negeri Perak hari ini, ia dapat terus melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.

“Khususnya ketika ini memberi fokus terhadap ancaman penularan wabak Coronavirus (Covid-19)yang telah menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat.

“Kami mendoakan seluruh kempimpinan kerajaan negeri Perak yang baru ini dirahmati Allah SWT, ujarnya kepada Harakahdaily.- HARAKAHDAILY 31/3/2020