Lebih 2,200 penduduk di Melor dibantu ADUN

KETEREH: Sehingga sekarang Pusat Khidmat DUN (PKD) Melor mengagihkan bantuan kepada 2,226 penduduk yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Setiausaha PKD Melor Mohd Tanazi Ariffin berkata, bantuan itu mulai disalur bermula pada 22 Mac lepas membabitkan seramai 500 penerima.

Katanya, agihan keperluan asas kepada penduduk yang terjejas dibuat setiap hari melalui penghulu mukim.

Advertisement

Kata beliau pada 29 Mac diagih kepada seramai 197 penerima, 1 April (629 orang), 5 April (430 orang) dan 8 April (315 penerima).

“Pengagihan berdasarkan kelayakan dan semua data penerima ada di pejabat Pusat Khidmat DUN Melor.

“Di Dun Melor terdapat sebanyak 12 mukim penghulu. Pengagihan sumbangan juga dibuat melalui Pejabat Tanah Kota Bharu melibatkan seramai 50 penerima iaitu 4 orang setiap mukim,” katanya di sini.

Beliau juga berkata, sehingga sekarang sebanyak RM60,000 disalurkan kerajaan negeri kepada Pusat Khidmat DUN Melor.

Menurutnya juga sumbangan yang diberi meliputi Skim Al Itaam membabitkan beras 10 kg, minyak masak dan gula. Selain itu kicap, meehon, ikan 1 kg, gandum, telur dan biskut.

Mohd Tanazi juga berkata, pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri, kerajaan Pusat dan Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) namun masih ada pihak yang cuba mempertikaikan tanpa mendapat maklumat jelas.

Menurutnya juga ada pengguna media sosial yang menggunakan nama Nadzmi Al Auzaei mencatat beberapa kekeliruan mengenai bantuan yang disalur Pusat Khidmat DUN Melor.- HARAKAHDAILY 12/4/2020