Agih keperluan harian hadapi Ramadan

Ustaz Wan Roslan Wan Hamat (bawah kiri) sedang memunggah beras daripada lori untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan sempena kedatangan Ramadan beberapa hari lagi.

TUMPAT: Sebanyak 3,000 bungkusan keperluan harian diagih kepada penduduk yang terjejas di DUN Pengkalan Kubor termasuk persediaan menghadapi Ramadan beberapa hari lagi.

ADUN Pengkalan Kubor, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, sumbangan tersebut diberi sebagai persiapan awal menempuh Ramadan.

“Sebelum ini kami menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terjejas dengan langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisement

“Bantuan itu mula diagih 18 Mac lalu selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap hari ada makanan untuk keperluan setiap keluarga,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya juga sehingga sekarang Pusat Khidmat DUN Pengkalan Kubor mengagihkan sebanyak 5,326 bantuan bahan makanan termasuk wang tunai kepada penduduk yang terjejas di DUN berkenaan.

DUN berkenaan mempunyai kira-kira 8,397 isi rumah yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum dan agama.- HARAKAHDAILY 21/4/2020