Pajak Gadai: Pandangan Presiden PKR dipertikai

KEMAMAN: Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim ditempelak kerana bercakap mengenai pajak gadai sesak ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa fakta jelas.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, Presiden PKR itu bercakap tidak berdasarkan fakta sebenar mengenai isu pajak gadai tersebut.

Beliau mengambil contoh semua premis pajak gadai yang terdapat di negeri Terengganu, telah memberi gambaran berbeza dengan kenyataan ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Anwar Ibrahim bercakap tidak berdasarkan fakta sebenar. Saya mengambil (contoh) negeri Terengganu. Saya sudah buat semakan di Kuala Terengganu, Kemaman, Jertih dan Dungun.

“Sebagai satu contoh Kemaman, kelmarin (4 Mei) seramai 170 orang pergi ke kedai pajak gadai 100 peratus orang bayar ‘anak’ (bunga). Hari ini (5 Mei) 150 orang hadir (pajak), hanya 5 orang sahaja buat gadaian.

“Kenapa orang ramai beratur beramai-ramai di pajak gadai? Bukan kerana mereka semua tiada duit tetapi mereka (pemajak) takut barang gadaian mereka sebelum ini luput tarikh dan akan dilelong kerana jika dua bulan mereka tidak dapat membayar kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Kebiasaannya, dua bulan buat gadaian tidak berbayar, barang kemas kita akan dilelong,” ujarnya ketika mengulas kenyataan Anwar bersiaran langsung di facebook, berhubung serbuan pemajak gadai ke premis berkenaan, hari ini.

Sehubungan itu, kata Hanafiah, beliau telah mengadakan perbincangan dengan ‘tauke’ (pemegang pajak gadai) khususnya di daerah Kemaman mengenai amalan peraturannya.

“Saya telah berbincang dengan ‘tauke’ (pemegang pajak gadai), dalam masa PKP ini, masa tempoh gadaian dua bulan PKP itu tidak dikira dan tidak dikenakan sebarang caj atau denda. Ianya balik kepada tarikh asal gadaian juga, jadi dia (pemajak) hanya kena bayar ‘anak’ sahaja.

“Anwar kata kelmarin semua orang berebut ke pajak gadai kerana orang tak ada duit. Lain kali biar ambil fakta jika hendak bercakap atau ‘respon’ isu.

Sebenarnya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai itu, ekonomi rakyat Malaysia masih stabil dan boleh diurus dengan baik.

“Mereka (rakyat) yang hilang pendapatan harian semasa PKP baru-baru ini, semuanya dapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) daripada kerajaan.

“Kerajaan negeri Terengganu juga mengeluarkan agihan barang-barang keperluan harian untuk dapur dan bantuan ‘cash’ (tunai). Sekarang buat keluar pula (peruntukan) sumbangan Ramadan,” jelasnya.

Pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman bantuan khas untuk semua rakyat Malaysia melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Anwar Ibrahim hari ini membuat kenyataan rakyat terpaksa menyerbu kedai-kedai pajak gadai sebaik sahaja kerajaan membuka semula ekonomi di bawah PKPB.

Menurutnya lagi, serbuan kepada kedai pajak gadai itu membuktikan betapa rakyat kini hidup dalam kesusahan kesan daripada pelaksanaan PKP yang bermula sejak 18 Mac lalu. – HARAKAHDAILY 5/5/2020