Tahniah YAB Muhamad Sanusi Md Nor

SAYA mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor atas pelantikan sebagai Menteri Besar Kedah Darul Aman pada hari ini.

Advertisement

Sesungguhnya peralihan Kerajaan Negeri Kedah ini adalah suatu yang bersifat demokratik dan berlaku atas kehendak dan kekuasaan Allah SWT jualah dengan kelemahan manusia itu sendiri sebagai asbabnya.

Pada masa seluruh negara masih sedang menghadapi musibah pandemik COVID-19 yang menjejaskan kesihatan dan sosioekonomi orang awam ketika ini, amat wajar sekali Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Kedah sama ada daripada kerajaan atau pembangkang sama-sama mengembleng usaha bagi memelihara kepentingan rakyat dan negeri Kedah.

Kepada YAB Tuan Haji Sanusi, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memperingatkan saudara bahawa amanah menerajui kerajaan ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti justeru saya mendoakan agar saudara akan sentiasa memelihara integriti dan meningkatkan kapasiti kerajaan yang diterajui saudara untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dan negeri Kedah – agar lebih baik daripada legasi sebelum ini – dengan izin dan bantuan daripada Allah.

Tahniah sahabatku.

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi /
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 17/5/2020