Selamatkan masyarakat dari bahana arak

DEWAN Muslimat PAS Negeri Pahang melahirkan rasa sedih dan merakamkan takziah  buat ahli keluarga Allahyarham Irwan Herman yang terkorban dalam kemalangan dirempuh oleh pemandu mabuk di Jalan Pintasan Kuantan pada malam kelmarin semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Advertisement

Gejala ‘alcoholism’ atau ketagihan arak sehingga memudaratkan diri dan orang lain akan terus merosakkan komuniti masyarakat negara ini jika tidak segera diambil tindakan drastik bagi menanganinya. Gejala ini bukan sahaja akan menyebabkan kemalangan akibat pemandu mabuk, malahan boeh menimbulkan pelbagai penyakit social yang lain seperti membunuh, membunuh diri, keruntuhan institusi keluarga, penderaan dan sebagainya.

Mengikut kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Report 201), arak telah  membunuh lebih daripada 3 juta manusia setahun di seluruh dunia melebihi kadar kematian yang disebabkan penyakit AIDS dan Tibi. Data ini juga merangkumi kematian yang disebabkan oleh pemabuk seperti kemalangan, penderaan, wabak peyakit dan lain-lain. Perkara ini cukup menggambarkan kepada kita betapa kritikalnya isu arak yang mampu untuk menghancurkan tamadun manusia moden hari ini jika tidak ditangani dengan sebaiknya.

Di samping itu juga, kami juga sangat prihatin dengan nasib keluarga kepada individu yang terpalit dengan gejala ketagihan arak dan juga keluarga kepada mangsa yang disebabkan oleh individu yang terlibat dengan arak yang membawa kepada kematian dan kecacatan. Perkara ini boleh menjerumuskan kepada kesan jangka masa panjang buat keluarga yang terlibat termasuklah kehancuran institusi keluarga, kehilangan kasih sayang, hilang mata pencarian, anak-anak terabai dan hilang tepat pergantungan untuk selama-lamanya.

Oleh itu, Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang mencadangkan agar semua pihak kembali kepada syariat Islam yang jelas mengharamkan arak sebagai minuman kerana langsung tidak mendatangkan kebaikan dan faedah kepada manusia. Besar harapan kami untuk melihat negara ini yang majoritinya beragama Islam tampil dengan imej sebuah negara yang bebas arak sepenuhya. Marilah kita bersatu untuk selamatkan masyarakat dan negara ini daripada kebatilan ini dengan bersama kembali kepada fitrah syariat agama Islam

“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera’’
“Islam Memimpin Peraduan”

SALAMIAH MOHD NOR
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 27/5/2020