Anggota AMAL selamatkan 5 mangsa hanyut

BAGAN DATUK: Ketangkasan dan keberanian seorang anggota Jabatan Amal Malaysia (AMAL) PAS Kawasan Bagan Datuk mempertaruhkan nyawa menyelamatkan lima remaja lemas di tali air berhampiran Sungai Perak merupakan sifat perwira yang perlu dicontohi.

Advertisement

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata sedemikian ketika menziarahi anggota Jabatan Amal, Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil, 31, setelah mendapat makluman itu di kediamannya di sini hari ini.

Menurut Imran yang berasal daripada Padang Rengas itu, beliau menyedari insiden itu sekitar jam 12:20 tengahari setelah melihat kelibat seorang wanita yang menerpa naik daripada tebing sungai dan menjerit meminta pertolongan beliau di mana berada di situ ketika itu.

Jelas beliau yang juga merupakan Ketua Cawangan PAS Simpang 4 dan Siak Masjid Batu 10 itu, kejadian berlaku apabila sebuah kereta Proton Saga BLM dipercayai terhumban ke dalam tali air di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah di sini, semalam.

“Ketika kejadian, air (tengah) pasang, dan air sungai sedang deras. Jadi saya tanpa berfikir panjang, saya terjun daripada jambatan untuk selamatkan mangsa yang telah hanyut.

“Kebetulan saya pada waktu itu dalam perjalanan pulang dari Kuala Kangsar ke Hutan Melintang. Alhamdulillah semua mangsa yang hanyut dalam insiden itu berjaya diselamatkan,” jelas beliau.

Tambahnya kini difahamkan semua mangsa yang masing-masing berusia 18 tahun itu sedang dirawat di Hospital Teluk Intan dan Hospital Changkat Melintang, manakala kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis.

Hasil ziarah itu, Razman menzahirkan rasa syukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan disamping memperingatkan seluruh rakyat negeri Perak agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari semasa ke semasa.

“Setiap individu perlu berperanan dalam menjayakan usaha pihak berkuasa untuk tangani wabak pandemik COVID-19 ini. Elakkan daripada keluar rumah sekiranya tiada urusan yang penting,” ulas Razman. – HARAKAHDAILY 28/5/2020