PKPB: Urusan nikah dan perkhidmatan feri di Kedah

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Negeri Kedah memberi kelonggaran kepada pasangan yang akan bernikah di negeri itu hanya perlu mengikuti temuduga khas pihak Pejabat Agama Daerah sekiranya belum memgikuti kursus pra-perkahwinan.

Advertisement

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kelonggaran khas tersebut diberikan untuk permohonan perkahwinan berikutan kelas berkenaan tidak dapat diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“(Temuduga) itu pada hari akad nikah. Jadi tak ada sijil (kursus pra-perkahwinan) pun boleh kahwin, tiada masalah. Yuran pun tak kena. Siapa tak kahwin lagi boleh ambillah kemudahan yang ditawarkan oleh pihak Jabatan Agama Islam.

“Saya ucap terima kasihlah kepada jabatan agama Islam Negeri Kedah yang mengemukakan inisiatif memudahkan proses perkahwinan ini. Tapi untuk perkahwinan pertama sahaja,” ujarnya dalam sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar, semalam.

Beliau juga memaklumkan, kerajaan negeri turut mempertimbangkan permohonan untuk menambah feri ke Langkawi kerana berikutan PKPB menyebabkan jumlah penumpang terpaksa dihadkan yang menyebabkan pertambahan kos operasi.

Bagaimanapun jelasnya, perkara tersebut bukan bidang kuasa kerajaan negeri, tetapi Kementerian Pengangkutan, namun beliau telah menyerahkan urusan berunding dengan pihak berkenaan kepada EXCO Pengangkutan Kedah, Azman Nasaruddin. – HARAKAHDAILY 28/5/2020